KUCHING, 30 APRIL – Cadangan kerajaan Sarawak untuk mewujudkan bank komersialnya sendiri baru-baru ini bertujuan memudahkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapat pembiayaan kewangan, sekali gus meningkatkan penglibatan mereka dalam perkembangan ekonomi.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata memandangkan sektor ekonomi Sarawak dijangka meningkat, adalah penting bagi kerajaan mencari jalan membantu PKS untuk turut sama memajukan sektor berkenaan.
“Masalahnya adalah mereka tidak dapat pinjaman kewangan walaupun projek bagus.
“Oleh itu, saya sedang berusaha mungkin dalam tahun ini atau akhir tahun (bagi membolehkan) Sarawak mempunyai bank komersialnya sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri di Gedong, kira-kira 90 kilometer dari sini, hari ini.
Abang Johari berkata setakat ini cadangan penubuhan tersebut masih di peringkat perbincangan dan beliau akan berusaha untuk merealisasikan perkara itu.
“Saya tidak dapat nak umumkan lagi (perinciannya)…kena bincang dahulu dengan majoriti (pihak yang berkaitan). Saya yakin (bank) ini akan menjadi pemangkin kepada industri kecil dan sederhana,” katanya. – Bernama