NEW YORK, 1 JAN – Deutsche Bank dan JPMorgan Chase meminta mahkamah persekutuan menggugurkan tuntutan yang mendakwa bahawa bank-bank tersebut sepatutnya telah mengesan tanda-tanda perdagangan seks oleh Jeffrey Epstein, ahli kewangan berjaya yang membunuh dirinya semasa meringkuk di dalam penjara sementara menghadapi pertuduhan jenayah.
Pihak bank berkata dalam satu kenyataan baru-baru ini bahawa mereka tidak melakukan apa-apa kecuaian yang boleh mendatangkan keburukan kepada wanita-wanita yang memfailkan tuntutan mahkamah dan tuntutan-tuntutan tersebut gagal untuk menunjukkan bahawa pihak bank mendapat manfaat daripada aktiviti perdagangan seks berkenaan.
Pemfailan di mahkamah daerah persekutuan di New York dibuat kira-kira sebulan selepas dua orang wanita yang dinamakan sebagai Jane Doe mendakwa bank-bank tersebut serta pihak berkuasa Virgin Islands, Amerika Syarikat (AS), di mana Epstein membina sebuah rumah di atas pulau kecil yang dimiliki olehnya.
Tuntutan tersebut, yang mewakili mangsa-mangsa Epstein yang lain, mendakwa bahawa bank-bank tersebut diketahui mendapat manfaat daripada aktiviti perdagangan seks Epstein dan ‘memilih keuntungan berbanding mengikuti undang-undang’ untuk memperoleh berjuta-juta dolar daripada ahli kewangan berkenaan.
Mereka mengatakan pihak bank sepatutnya menghindari Epstein selepas penahanannya di Florida pada tahun 2006, di mana dia akhirnya mengaku bersalah ke atas pendakwaan menawarkan khidmat pelacuran – dan kesan buruk daripada siasatan pihak persekutuan dan liputan berita.
“Tanpa penyertaan daripada institusi kewangan, rancangan jahat Epstein tidak mungkin wujud atau berkembang,” dakwa tuntutan tersebut.
JPMorgan Chase baru-baru ini berkata Jane Doe dalam kes ini “layak untuk menerima pengadilan… Namun tuntutan terhadap JPMorgan Chase ditujukan ke atas pihak yang salah, tiada merit dari segi undang-undang, dan wajar digugurkan.”
Deutsche Bank berkata ia hanya menyediakan “perkhidmatan perbankan rutin” kepada Epstein dari tahun 2013 hingga 2018, dan tuntutan mahkamah tersebut “langsung tidak cukup untuk menuduh bahawa Deutsche Bank… merupakan sebahagian daripada kumpulan jenayah perdagangan seks Epstein.” – AP