Tuesday, February 11, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Muamalat perkenal perkhidmatan baharu

    MUAR, 25 Nov – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu e-Derma dan e-Purchased melalui sistem aplikasi Quick Response (QR) Code untuk memudahkan pelanggannya menderma di masjid serta melakukan pembayaran di institusi terlibat.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, Bank Muamalat merupakan bank kedua di negara ini yang memperkenalkan perkhidmatan itu bagi memudahkan transaksi tanpa penggunaan tunai secara fizikal.

    “Pelanggan hanya memerlukan telefon bimbit untuk membuat pembayaran atau pun menderma di masjid-masjid atau mana-mana institusi yang mengguna pakai aplikasi QR Code tersebut.

    “Cara pembayaran ini lebih selamat, mudah dan dapat mengurangkan penggunaan dari dompet (e-wallet),” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Cawangan Bank Muamalat Muar, di sini, hari ini.

    Majlis itu disempurnakan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains,Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin juga Anggota Parlimen Bakri.

    Turut hadir, Ketua Bahagian Operasi Bank Muamalat Mohd Yassin Yaacob dan Pengurus Wilayah, Pejabat Wilayah Selatannya Mohd Zamri Pardi.

    Mohd Redza berkata, menerusi e-Derma, pelanggan bank boleh menderma sehingga serendah RM1 dan aplikasi itu diberikan secara percuma di masjid manakala perkhidmatan E-Purchased itu juga akan dikembangkan di institusi perniagaan lain yang memerlukannya.

    Sementara itu, Mohd Yassin berkata Bank Muamalat akan membuka empat lagi cawangannya sehingga hujung tahun ini manakala pembukaan cawangan bagi 2019 masih dalam perbincangan.

    “Sasaran kita adalah membuka cawangan di bandar-bandar utama dan kawasan yang ekonominya sedang membangun selain menyasarkan lokasi yang mempunyai kepadatan penduduk serta penjawat awam dan institusi pengajian,” katanya. – Bernama

    Yeo Bee Yin menggunakan perkhidmatan ATM sebagai gimik perasmian Cawangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) di Muar semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda