Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Dalam sama-sama membantu meringankan beban kerajaan menangani penularan wabak COVID-19, Bank of China telah menyumbangkan 10,000 pelitup muka jenis N95 dan 40,000 pelitup muka perubatan, yang keseluruhannya bernilai $18,000 kepada Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.
Sumbangan telah diserahkan di Kompleks Sukan Menglait itu juga bertujuan untuk menambah peralatan perlindungan diri yang sedia ada bagi keperluan para petugas barisan hadapan dan pesakit.
Menurut kenyataan Bank of China, ketika gelombang kedua penularan COVID-19 melanda Brunei, bank berkenaan segera mendapatkan peralatan pencegahan pandemik dengan bantuan ibu pejabat di Beijing, China, yang menunjukkan keinginan dan keazamannya untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
Ketika berdepan pandemik, bank berkenaan bukan sahaja menawarkan siri bantuan kewangan dalam respons kepada inisiatif-inisiatif kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan pelanggan malah bertindak balas segera menerusi pelaksanaan pelan kelangsungan perniagaan bagi memastikan kelancaran operasi.
Di samping itu, bank berkenaan juga mempelbagaikan barisan produk dan perkhidmatannya termasuk Intelligence Global Transaction Banking Platform (iGTB), RMB salary remittance, foreign exchange (T+X), perbankan dalam talian dan aplikasi perbankan mudah alih.
