Wednesday, March 26, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Pembangunan Asia sediakan bantuan AS$2.3-AS$2.5 bilion kepada Pakistan

    KARACHI, 6 OKT – Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Rabu mengumumkan akan menyediakan bantuan berjumlah AS$2.3 bilion hingga AS$2.5 bilion untuk membantu Pakistan yang dilanda bencana hujan dan banjir yang belum pernah terjadi di negara Asia Selatan itu.

    Perkara itu diumumkan Pengarah Negara ADB untuk Pakistan, Yong Ye, dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan Pakistan Ishaq Dar di Islamabad, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Kewangan.

    Bantuan yang dicadangkan itu termasuk pinjaman “kitaran balas” (countercyclical) AS$1.5 bilion daripada Program Membina Ketahanan Kitaran ADB dengan Program Perbelanjaan Balas Aktif yang akan dibentangkan kepada lembaga bank untuk kelulusan bulan ini.

    Pada pertemuan itu beliau turut memaklumkan mengenai projek ADB yang sedang dan bakal dilaksanakan, merangkumi pelbagai sektor termasuk perlindungan sosial dan keselamatan makanan serta Strategi Perkongsian Negara untuk Pakistan 2021-25.

    Sementara itu, Dar memaklumkan kepada delegasi ADB tentang kemusnahan akibat banjir dan kesannya terhadap ekonomi.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ADB atas sokongan yang berterusan dan beliau memberi jaminan kerajaan akan memberikan kerjasama penuh untuk memastikan program yang sedang dan bakal dilaksanakan berjalan lancar.

    Agensi pinjaman tersebuttelah meluluskan geran bantuan kecemasan sebanyak AS$3 juta untuk penyediaan makanan, bekalan perubatan dan barangan bantuan lain kepada mangsa banjir di Pakistan.

    Hujan lebat 10 kali ganda berbanding biasa yang melanda Pakistan sejak pertengahan Jun lalu telah meragut hampir 1,700 nyawa dan mengakibatkan satu pertiga kawasan di negara tersebut dilanda banjir.

    Selain mengakibatkan kemusnahan besar dari segi infrastruktur dan pertanian serta merosakkan kira-kira 45 peratus kawasan pertanian, banjir itu turut menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan makanan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda