Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Pusat Australia turunkan kadar faedah utama ke paras terendah

    SYDNEY, 12 OGOS – Bank Pusat Australia hari ini menurunkan kadar faedah utamanya ke paras terendah dalam tempoh dua tahun, namun memberi amaran bahawa
    cabaran global terus mencetuskan ketidaktentuan.

    Bank Rizab Australia (RBA) menurunkan kadar tunai sebanyak 25 mata asas kepada 3.60 peratus, memetik perkembangan yang stabil dalam usaha menurunkan kadar inflasi.

    “Ketidaktentuan dalam ekonomi dunia kekal tinggi,” kata lembaga dasar monetari bank itu dalam satu kenyataan.

    “Terdapat penjelasan mengenai skop dan skala tarif AS serta tindak balas dasar di negara-negara lain, menunjukkan keadaan yang lebih ekstrem kemungkinan besar dapat dielakkan.”

    Lembaga itu menambah bahawa perkembangan dasar perdagangan dijangka memberi ‘kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi global.’

    Kadar tunai kini berada pada paras terendah sejak April 2023.

    Perbendaharaan Australia, Jim Chalmers berkata perlindungan terbaik terhadap ketidaktentuan global ialah ‘ekonomi yang lebih produktif, belanjawan yang lebih kukuh, dan daya tahan yang lebih tinggi.’

    “Ketidaktentuan dan turun naik ekonomi adalah ciri menonjol dan penentu dalam prospek global, tetapi segala kemajuan yang telah kita capai bersama menempatkan kami di kedudukan baik,” katanya.

    Walaupun inflasi telah menurun sejak mencapai kemuncak pada 7.8 peratus pada Disember 2022, banyak isi rumah Australia masih terbeban dengan kos makanan,
    bahan api dan perumahan yang tinggi. – AFP

    Gabenor Bank Rizab Australia, Michele Bullock berucap semasa sidang media Keputusan Dasar Monetari di Sydney kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda