BEIJING, 2 FEB – Bank pusat China berkata hari ini ia akan menyuntik 1.2 trilion yuan dalam ekonomi tatkala ia menambah bantuan dalam kempen memerangi virus yang dijangka menjejas pertumbuhan.
Bank Rakyat China (PBOC) berkata dalam satu kenyataan bahawa ia akan melancarkan operasi pembelian semula 1.2 trilion yuan esok untuk mengekalkan ‘kecairan yang banyak’ dalam sistem perbankan, serta pasaran mata wang stabil semasa epidemik. Ia menambah kecairan keseluruhan dalam sistem perbankan akan berjumlah 900 bilion yuan lebih banyak berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Tindakan tersebut akan dilancarkan pada hari pasaran kewangan dibuka semula di China, selepas cuti Festival Musim Bunga. Virus itu kini telah menjangkiti 14,000 orang di China dan meragut lebih daripada 300 nyawa.
Semalam, PBOC juga mengumumkan pelbagai langkah untuk menambah sokongan mata wang dan kredit kepada perusahaan yang membantu dalam kempen membendung epidemik virus, seperti syarikat perubatan.
Bank pusat China menyeru institusi kewangan supaya menyediakan ‘sumber kredit yang mencukupi’ kepada hospital dan pertubuhan perubatan lain.
Tindakan untuk menyuntik kecairan dalam system kewangannya diadakan tatkala virus mengancam memberikan kesan paling hebat ke atas ekonomi yang telah pun meleset. – AFP