Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank pusat India naikkan kadar faedah lagi

    NEW DELHI, 30 SEPT – Bank pusat India pada hari ini menaikkan kadar pinjaman utamanya untuk kali keempat dalam lima bulan sebanyak 50 mata asas (separuh mata peratusan) ketika cabaran ekonomi negara itu meningkat di tengah-tengah prospek global yang ‘suram’.

    Ini merupakan kenaikan keempat dalam kadar faedah penanda aras sejak Mei.

    Gabenor Bank Rizab India (RBI), Shaktikanta Das berkata berikutan pandemik COVID-19 dan perang Rusia-Ukraine, dunia berdepan dengan ‘kejutan besar ketiga’ berikutan pengetatan dasar monetari global.

    “Berdasarkan penilaian keadaan makroekonomi dan prospeknya, lima daripada enam ahli MPC (jawatankuasa dasar monetari) memutuskan untuk meningkatkan kadar repo dasar sebanyak 50 mata asas kepada 5.9 peratus, berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.

    Ketua bank pusat itu menyalahkan faktor luaran untuk inflasi India yang semakin teruk, yang meningkat kepada 7 peratus pada Ogos berbanding 6.7 peratus pada Julai.

    Beliau berkata ekonomi India terus ‘berdaya tahan’ di sebalik persekitaran global yang ‘suram’.

    Menjelaskan alasan RBI untuk kenaikan kadar terkini, Das berkata keadaan kewangan global semakin ketat, kebimbangan kemelesetan semakin meningkat dan inflasi tetap berterusan pada paras yang tinggi.

    “Kesan berterusan pandemik dan konflik geopolitik mewujudkan ketidakpadanan permintaan-penawaran bagi barangan dan perkhidmatan. Bank-bank pusat kini merangka pelan baharu bagi menangani kenaikan kadar yang tinggi, walaupun tindakan itu akan mengorbankan sedikit pertumbuhan dalam tempoh terdekat,” kata Das. – Bernama

    Gabenor Bank Rizab India (RBI) Shaktikanta Das semasa bercakap pada sidang media di ibu pejabat RBI di Mumbai kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda