Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank pusat Singapura catat kerugian AS$23 bilion

    SINGAPURA, 5 JULAI – Bank pusat Singapura hari ini berkata ia mengalami kerugian bersih tahunan sebanyak AS$23 bilion dalam tahun kewangan terkini apabila ia mengetatkan dasar monetari untuk memerangi inflasi yang melambung tinggi, dan memberi amaran ekonomi negara kota itu masih menghadapi masalah.

    Bank-bank pusat di seluruh dunia telah memulakan kempen untuk mengurangkan kesan kenaikan harga berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tahun lalu yang menjejaskan bekalan minyak dan gas.

    Tetapi sementara negara lain telah menaikkan kadar faedah dalam usaha mereka, Singapura, yang mengimport sebahagian besar keperluannya, telah mengukuhkan dolar tempatan untuk menjadikan barangan import lebih murah.

    Bagaimanapun, ia telah diterjemahkan kepada kerugian besar dalam rizab asing rasminya, kata pengarah urusan Autoriti Monetari (MAS), Ravi Menon.

    MAS mencatatkan ‘kerugian bersih sebanyak Sg$30.8 bilion (untuk tahun kewangan berakhir Mac), mencerminkan kesan pengetatan dasar monetari untuk menurunkan inflasi’, katanya semasa mengeluarkan laporan tahunannya.

    “Ia adalah kerugian terbesar yang pernah dicatatkan MAS,” tambahnya.

    Beliau berkata 70 peratus daripada kerugian itu, atau Sg$21.4 bilion, adalah disebabkan ‘kesan mata wang negatif daripada dolar Singapura yang lebih kukuh’.

    Sekitar 30 peratus lagi kerugian datang daripada ‘perbelanjaan faedah bersih daripada operasi pasaran wang untuk menampung lebihan kecairan dalam sistem perbankan’. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda