Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank pusat Singapura hukum DBS

    SINGAPURA, 1 NOV – Bank pusat Singapura hari ini melarang bank DBS daripada membuat pengambilalihan selama enam bulan sementara ia mengukuhkan perkhidmatan perbankan digitalnya selepas beberapa siri gangguan.

    DBS, bank terbesar negara bandar itu, juga harus menggantung perubahan IT yang bukan keutamaan dalam tempoh tersebut, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan.

    “DBS mesti melaksanakan langkah segera untuk memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan sambil terus melabur dalam usaha jangka panjang untuk meningkatkan daya tahan operasinya,” kata Ho Hern Shin, timbalan pengarah urusan penyeliaan kewangan badan kawal selia itu.

    Bank pusat itu telah pun mengenakan keperluan modal tambahan kepada pemberi pinjaman tersebut selepas dua gangguan pada Mac dan Mei.

    DBS sejak itu telah mengalami tiga lagi gangguan terhadap perkhidmatan perbankannya, termasuk gangguan yang menjejaskan perkhidmatan digital dan ATM pada 14 Oktober yang berlangsung lebih 12 jam.

    Lembaga pengarah dan pengurusan bank itu memohon maaf atas gangguan hari ini, sambil berkata ‘langkah komprehensif untuk meningkatkan daya tahan teknologi’ akan dilaksanakan.

    “Sebagai pengakuan bahawa bank boleh melakukan yang lebih baik, pengurusan kanan akan dipertanggungjawabkan, dan ini akan dicerminkan dalam pampasan mereka,” kata Pengerusi DBS, Peter Seah dalam satu kenyataan. – AFP

    Foto yang diambil pada 8 September menunjukkan bangunan bank DBS di Marina Bay, Singapura. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda