Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank pusat Thai, BNM meterai perjanjian

    BANGKOK, 29 Nov – Bank Pusat Thailand (BoT) menjangkakan dapat memuktamadkan perjanjian dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kriteria Perbankan ASEAN Yang Layak (QAB), membuka jalan untuk bank bank asal di sesebuah negara untuk beroperasi di negara lain dan menerima layanan sebagai bank tempatan.

    Menurut Gabenor BoT, Veerathai Santiprabhob, ia kini dalam proses mengadakan rundingan dengan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia serta Bank Pusat Myanmar mengenai penubuhan QAB. “Kami sedang berunding dengan tiga bank pusat, tetapi perjanjian dengan Malaysia akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya sebagai dipetik sebagai berkata oleh media tempatan di sini, hari ini.

    BoT memeterai perjanjian induk pertamanya mengenai pengaturan dua hala timbal balik berkaitan QAB dengan BNM pada 14 Mac tahun lepas, tambahnya.

    Pengaturan dua hala tersebut adalah sebahagian daripada perjanjian payung yang dipanggil Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN, yang memberikan akses yang lebih besar kepada bank-bank asal ASEAN kepada sektor perbankan negara anggota serta kelonggaran operasi secara timbal balik.

    Dua institusi kewangan Malaysia, CIMB Group dan RHB Bank mempunyai operasi perbankan di Thailand manakala anak syarikat milik penuh Bangkok Bank, Bangkok Bank Bhd, beroperasi di Malaysia.

    Veerathai berkata, bank pusat ASEAN berkongsi matlamat yang sama untuk menggalakkan integrasi kewangan dalam kalangan kumpulan serantau tersebut.

    “Kita melihat integrasi dari segi pelaburan dan perdagangan antara syarikat Thai dan negara jiran terus mengukuh. Institusi kewangan Thailand juga telah mengembangkan operasi mereka ke negara jiran,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda