Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank Usahawan, pindaan elaun OKU disyukuri

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 5 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini telah memperkenankan pindaan Akta dan Peraturan Pencen dan Elaun Kurang Upaya selain menambah kemudahan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan memperkenankan penubuhan Bank Usahawan awal bulan ini.

    Sebagai wakil rakyat khususnya penduduk di kawasan Zon 1 Daerah Belait, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Mukim Liang, benar-benar menjunjung kasih serta merafakkan rasa syukur ke atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    “Seluruh rakyat telah mendengarkan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan seluruh rakyat merasakan sangat bertuah kerana mempunyai seorang raja yang sentiasa memeduli akan kesejahteraan rakyat sebagai satu usaha untuk melihat rakyat dan negara terus maju ke hadapan,” kata beliau semasa ditemui Media Permata hari ini.

    “Pindaan itu juga merupakan satu perhatian dan jaminan tambahan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) termasuklah mereka yang berumur di bawah 15 tahun,” tambah beliau.

    Pindaan berkenaan juga bakal mengurangkan beban mereka dan diharap golongan OKU turut menyumbangkan sesuatu kepada negara. Beliau juga berharap mereka yang menerima elaun berkenaan akan terus berusaha memajukan diri dan bukan hanya bergantung kepada bantuan itu semata-mata.

    Yang Berhormat Haji Abdul Hamid mewakili rakyat kawasan Zon 1 Daerah Belait.

    “Mudah-mudahan dengan kemahiran atau kelebihan mereka, ia akan membantu menjana ekonomi negara kerana kita menyedari OKU masing-masing mempunyai kelebihan dikurniakan Allah S.W.T yang tidak mustahil dapat dimajukan bagi membantu menjana ekonomi negara,” katanya.

    Beliau turut bersyukur atas usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia secara berterusan dalam menyediakan pelbagai kemudahan membantu PMKS dan memperkenankan penubuhan Bank Usahawan yang juga dimulakan awal tahun ini.

    Usaha berkenaan juga diharap dapat menyuntik semangat mereka yang berhasrat atau yang telah berkecimpung dalam PMKS untuk mengatur langkah dengan lebih proaktif dalam membantu menambahkan sumber ekonomi negara.

    “Beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan seperti Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) sebelum ini juga sudah memberikan bantuan kepada mereka yang berhak menerimanya.

    “Ramai juga yang sudah berjaya, apa lagi dengan tertubuhnya Bank Usahawan ini nanti, ia merupakan satu rahmat dan kita patut bersyukur dan menyambut baik hasrat Baginda Sultan dengan lebih memantapkan lagi rancangan serta strategi perniagaan masing-masing.

    “Memantapkan lagi perniagaan bukan sahaja mampu menambah pendapatan tetapi boleh menghasilkan produk-produk yang boleh dipasarkan secara besar-besaran dan peluang seperti ini perlu disahut oleh para belia agar turut berkecimpung dalam bidang perusahaan PMKS,” ujar beliau.

    Yang Berhormat Awang Hanapi mewakili penduduk Zon 2 Daerah Belait.

    Sementara itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, mewakili Zon 2 Daerah Belait, juga sebagai Pemangku Penghulu Mukim Labi 1, turut merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T dan menjunjung kasih ke atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Beliau yang ditemui hari ini juga berkata, melalui pindaan akta tersebut sedikit sebanyak telah menceriakan harapan kalangan OKU, di mana sebelum ini hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas layak menerima.

    “Dengan adanya pindaan itu, sekurang-kurangnya ia akan dapat meringankan beban terutama keluarga yang kurang berkemampuan kerana kos pembiayaan atau penjagaan OKU adalah sangat tinggi.

    “Kini beban mereka dapat diringankan dan ini merupakan satu rahmat kepada mereka dan kita benar-benar menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan atas keprihatinan Baginda,” katanya.

    Sehubungan dengan itu beliau menyeru para penerima elaun supaya akan dapat memanfaatkannya dengan sebaik mungkin untuk meningkatkan kehidupan mereka dan bukan hanya 100 peratus bergantung harap kepada bantuan berkenaan.

    Mereka diharap dapat menjadikannya sebagai dorongan supaya lebih bersemangat meneruskan pembelajaran kerana mereka bukanlah orang tersisih malahan orang yang terpilih untuk terus bersaing dengan orang lain.

    “Saya juga menyeru kepada masyarakat awam supaya tidak menyisihkan golongan OKU. Cuba dekati dan bantu mereka supaya mereka juga merasa disayangi dan mungkin suatu masa nanti mereka boleh berbakti kepada negara umpamanya dalam bidang ekonomi, sukan dan sebagainya.

    “Kepada penerima elaun, sentiasa amalkan sikap berjimat cermat dan gunakan bantuan sebaik mungkin untuk keperluan awda,” tambahnya.

    Sementara beliau juga berharap dengan penubuhan Bank Usahawan itu nanti akan dapat memberikan kemudahan dari segi pinjaman kewangan yang boleh menjadi sebagai pemudah cara bagi peniaga PMKS mencapai kejayaan.

    “Selain itu, jika boleh biarlah bantuan tersebut diberikan tanpa terlalu banyak syarat kerana bank merupakan pemudah cara bagi membantu rakyat dan jika terlalu banyak syarat ia mungkin akan membebankan,” katanya sambil menyeru orang ramai untuk merebut peluang berkenaan agar sama-sama memajukan Projek Satu Kampung Satu Produk (1P1K).

    Haji Mohd Ibrahim turut melahirkan rasa syukur.

    Bagi Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Mohd Ibrahim bin DMS Dian, beliau juga turut menjunjung kasih ke atas titah perkenan Baginda Sultan mengenai pindaan Akta dan Peraturan Pencen dan Elaun Kurang Upaya dan penubuhan Bank Usahawan semasa bertitah sempena Sambutan Tahun Baru Masihi.

    Menurut beliau, pindaan tersebut merupakan perubahan positif dan anugerah bagi rakyat dan masyarakat perlu bersyukur kerana mempunyai seorang raja yang sentiasa memeduli dan mengambil berat tentang kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

    Dengan pindaan itu juga, masa depan golongan OKU lebih terjamin selain membantu meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dan bakal memberikan nikmat dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

    Selain itu, katanya penubuhan Bank Usahawan disambut baik oleh para belia yang mula berjinak-jinak dengan bidang perniagaan dan ia juga diharap dapat membantu majlis perundingan kampung memperkasakan Projek 1K1P untuk pasaran dalam dan luar negara.

    Haji Abdul Aziz turut menjunjung kasih atas titah perkenan Baginda Sultan.

    Pemangku Ketua Kampung Lumut 1, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Gani pula menyatakan sebagai rakyat beliau juga rasa amat bersyukur dan menjunjung kasih ke atas titah perkenan tersebut kerana ia akan dapat meringankan beban golongan OKU.

    Titah perkenan itu juga membuktikan Baginda sebagai seorang raja yang sentiasa mengasihi dan memeduli keharmonian serta kesejahteraan rakyat dan dari segi sosioekonomi pula, jelas sekali Baginda Sultan sentiasa membukakan peluang dan suntikan semangat kepada rakyat untuk terus memajukan diri.

    Dengan penubuhan Bank Usahawan, ia akan membantu para pengusaha PMKS dalam membina dan memantapkan lagi perusahaan mereka.

    Manakala Elaun Kurang Upaya pula diharap meringankan kos perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dalam penjagaan golongan OKU.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda