Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bank utama Jepun wajibkan cuti paterniti sebulan

    TOKYO, 28 SEPT – Sumitomo Mitsui Banking Corp di Jepun akan mewajibkan pekerjanya mengambil sekurang-kurangnya sebulan cuti paterniti (cuti kerana isteri bersalin) bermula Oktober bagi menggalakkan penyertaan dalam penjagaan anak serta menambah baik persekitaran kerja, lapor agensi berita Kyodo.

    Sebagai sebahagian daripada langkah yang akan dilaksanakan menjelang tahun kewangan 2028, bank utama itu akan membayar bonus sebanyak 50,000 yen (AS$335) kepada pekerja yang mengambil cuti ibu bapa dan rakan sekerja mereka sekiranya operasi perniagaan kekal stabil sepanjang tempoh ketiadaan mereka.

    Dengan mengambil kira bahawa pekerja akan dapat menyediakan masa mencukupi untuk persediaan, syarikat itu dalam kenyataan media pada 19 September berkata, “Kami akan menggalakkan inisiatif untuk mengukuhkan daya tahan pasukan, dengan melihat ketiadaan kerana penjagaan anak sebagai satu peluang.”

    Langkah baharu itu diperkenalkan selepas bank berkenaan mencapai kadar pengambilan cuti paterniti 100 peratus pada tahun kewangan 2023. Namun, tempoh purata cuti hanya 12 hari, jauh daripada sasaran 30 hari.

    Pekerja yang mempunyai anak di bawah umur dua tahun tertakluk kepada langkah cuti paterniti itu.

    Langkah itu dilaksanakan ketika semakin banyak syarikat Jepun memperkenalkan inisiatif membayar elaun kepada rakan sekerja pekerja yang mengambil cuti ibu bapa, dengan tujuan menggalakkan pekerja mengambil cuti serta mengurangkan rasa tidak adil dalam kalangan mereka yang menanggung beban kerja tambahan.

    Menurut tinjauan kerajaan, seramai 40.5 peratus bapa yang mempunyai anak damit mengambil cuti paterniti pada 2024, rekod tertinggi setakat ini, namun peratusannya masih jauh lebih rendah berbanding 86.6 peratus ibu yang mengambil cuti bersalin. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda