SRINAGAR, India, 1 April – Kira-kira lapan pemberontak telah terbunuh dalam pertempuran dengan tentera India di Kashmir, sekali gus mencetuskan bantahan anti-India dan pertempuran baru, kata pegawai hari ini.
Pertempuran di selatan Kashmir bermula semalaman selepas anggota tentera kerajaan menggeledah dua kampung selepas menerima maklumat mengatakan pemberontak sedang bersembunyi di sana dengan kejadian tembak menembak bermula, kata polis.
Polis berkata militan cuba melarikan diri daripada kepungan keselamatan ketika melepaskan tembakan senapang mereka dan bom tangan tetapi terbunuh dalam pertempuran seterusnya.
Tujuh orang militan, termasuk beberapa komander, terbunuh di kawasan Shopian sementara seorang pemberontak terbunuh dan seorang lagi ditawan di Anantnag pada awal hari ini, kata pegawai kanan polis S.P. Vaid.
Polis berkata pertempuran ketiga juga meletus di kawasan Shopian di mana beberapa pemberontak terperangkap.

Kumpulan pemberontak yang bertempur menentang pemerintahan India tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pertempuran hari ini.
Tatkala pertempuran bertambah sengit, bantahan anti-India meletus di beberapa kampung di selatan Kashmir sebagai menyokong pemberontak.
Ramai pembantah juga berusaha berarak ke tapak pertempuran untuk membantu militan yang terperangkap melepaskan diri, membawa kepada pertempuran di antara penduduk yang melontar batu dan tentera kerajaan yang menembak penabur senapang dan gas pemedih mata.
Menurut pegawai hospital dan polis, sekurang-kurangnya berpuluh orang awam mengalami kecederaan dalam pertempuran berterusan itu. – AP