Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantahan terhadap pembunuhan doktor India meningkat

    KOLKATA, 15 OGOS – Ribuan orang turun ke jalan-jalan raya di Kolkata awal pagi hari ini untuk mengecam kes rogol dan pembunuhan seorang doktor yang telah mencetuskan protes di seluruh India, menuntut keselamatan yang lebih baik untuk kaum wanita.

    Penemuan mayat wanita berusia 31 tahun itu minggu lalu di hospital milik kerajaan telah mencetuskan kemarahan yang meluas, dengan Perdana Menteri Narendra Modi menuntut hukuman segera dikenakan ke atas mereka yang melakukan ‘perbuatan keji’ terhadap wanita.

    Orang ramai berarak melalui jalan-jalan Kolkata di Bengal Barat untuk mengutuk pembunuhan itu, dengan perhimpunan bercahayakan lilin pada tengah malam diadakan serentak dengan permulaan sambutan Hari Kemerdekaan India pada hari ini.

    Penunjuk perasaan di Kolkata, yang berarak di bawah slogan ‘tuntut semula malam,’ menggesa agar keganasan terhadap wanita ditangani dengan lebih meluas dan memegang sepanduk dengan tulisan tangan menuntut tindakan.

    “Kami mahukan keadilan,” menurut satu sepanduk di perhimpunan itu. “Gantung perogol, selamatkan wanita,” tulis yang lain.

    Anggota polis berkawal di luar R.G. Kar Medical College and Hospital, selepas ia dirosakkan oleh individu tidak dikenali di Kolkata, kelmarin. – Bernama

    “Kekejaman terhadap wanita tidak berhenti,” kata salah seorang peserta perarakan tengah malam, Monalisa Guha kepada akhbar Kolkata, The Telegraph.

    “Kami berdepan gangguan hampir setiap hari,” kata seorang lagi peserta, Sangeeta Halder, kepada akhbar harian itu. “Tetapi tidak melangkah keluar kerana ketakutan bukanlah penyelesaian.”

    Doktor-doktor di hospital kerajaan di beberapa negeri pada Isnin menghentikan perkhidmatan elektif ‘untuk tempoh yang tidak pasti,’ menuntut keadilan segera dan keselamatan tempat kerja yang lebih baik.

    Bantahan-bantahan telah berlaku di beberapa hospital lain di seluruh negara, termasuk di ibu negara.

    Modi, bercakap di New Delhi pagi tadi pada sambutan Hari Kemerdekaan, tidak merujuk secara khusus pembunuhan Kolkata itu, tetapi menyatakan ‘kesakitan’ yang dirasainya atas keganasan terhadap wanita. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda