Oleh Amri HTZ
SOFA ruangan tamu sesebuah rumah akan nampak lebih elegan jika ianya dihiasi dengan beberapa barangan perhiasan. Ruangan tersebut setentunya akan nampak kosong tanpa kehadiran bantal perhiasan. Bagi mengisikan ruangan tersebut, sesetengah suri rumah mengambil cara mudah dengan hanya membeli bantal perhiasan yang telah siap sedia direka.
Namun untuk memberikan kelainan pada sofa milik anda, ikuti beberapa langkah mudah untuk mereka bantal berbentuk bunga yang unik dan cantik sesuai dijadikan bantal perhiasan pada sofa bilik tamu anda.
Barang-barang yang diperlukan
Bagi mereka bantal berbentuk bunga tersebut, barangan dan peralatan yang diperlukan adalah ¾ ela fabrik berwarna putih (jenis fabrik perlu dipilih untuk keselesaan), ¼ ela fabrik cotton berwarna kuning, kapas, gunting fabrik, pisau pemotong rotary, benang berwarna putih dan kuning, pembaris lut sinar (clear), pen khas fabrik, mesin jahit, jarum menjahit, jarum peniti, kertas templat, pad pemotongan dan seterika.
Proses pembuatan
Pada langkah pertama, guntingkan kertas berbentuk bulatan berukuran 8 inci pada kertas templat yang telah disediakan. Bagi anda yang mempunyai pisau pemotong jenis rotary, memotong kertas templat tersebut akan menjadi mudah kerana ianya mudah untuk digayakan. Gunakan templat tersebut untuk memotong sebanyak empat helai kain berwarna kuning berbentuk bulatan dan jahitkan setiap dua helai dengan memberikan ruangan sebanyak ¼ inci bahagian hujung di antara jahitan.
Manakala pada langkah kedua, dengan berhati-hati, potongkan kain pada bahagian tengah bulatan pada salah satu helaian kain berukuran kira-kira 1 inci. Langkah ini adalah untuk mereka ruang bagi menarik kain yang tidak dipotong pada bahagian dalam ke bahagian luar. Dengan menggunakan hujung jari anda,tarik dan lipat keluar kain tersebut menjadikan bahagian luar ke bahagian dalam untuk menyembunyikan bekas jahitan. Seterika bahagian lipatan agar ianya nampak kemas dan lipatan berada tepat pada bahagian jahitan.
Sementara pada langkah ketiga, lukiskan bentuk bunga pada kertas templat dengan sekurang-kurangnya mempunyai tujuh kelopak bunga (mengikut kesesuaian). Setelah melukiskannya, potongkan sebanyak dua helai kain berwarna putih dengan berpandukan templat tersebut. Setelah itu, jahitkan kedua helai kain berbentuk bulat yang telah dijahitkan sebelum ini pada bahagian tengah kedua-dua kain berbentuk bunga tersebut. Bagi memastikan ianya kekal berada pada tempatnya untuk memudahkan proses menjahit bulatan, gunakan jarum peniti pada setiap sudut dan buka semula satu persatu setelah menjahitkannya.
Setelah menjahitkannya, langkah seterusnya adalah menjahitkan kedua-dua kain bantal berbentuk bunga tersebut. Tinggalkan sedikit ruang tanpa jahitan berukuran 4 inci atau lebih. Ruang ini merupakan ruang untuk anda menterbalikkan permukaan bantal dan untuk memasukkan kapas. Bagi memastikan bahagian bantal berbentuk kelopak bunga tidak berkedut ketika diterbalikkan, guntingkan bahagian hujung bantal (kelopak) dengan membentuk tiga segi setiap 1 inci ruang. Setelah siap menjahitkan kedua-dua helaian kain tersebut, terbalikkan bahagian luar ke bahagian dalam dengan berhati-hati.
Pada langkah seterusnya, seterika bahagian lipatan supaya ianya nampak kemas dan lipatannya tepat pada bahagian jahitan. Masukkan sedikit demi sedikit kapas melalui bahagian bantal yang tidak terjahit (yang dibuat sebelum ini) dengan menumpukan pada bahagian tengah. Apabila ianya telah diisikan dengan sedikit kapas, jahitkan bahagian bulatan (kain kuning) sekelilingnya. Pastikan kapas pada bahagian tengah tidak terlalu tebal bagi meniru bentuk bunga sebenar (sedikit tenggelam).
Setelah menjahitkannya, masukkan lagi kapas ke dalam bantal tersebut sedikit demi sedikit dengan memastikan ianya dibahagikan pada setiap bahagian. Kapas pada bahagian ini perlu banyak daripada bahagian tengah bantal. Pastikan ianya terlalu banyak kerana ia boleh menjadikan bantal tersebut keras apabila dipegang. Setelah memasukkan kapas, tutupkan bahagian bantal yang dijadikan tempat memasukkan kapas sebelum ini.
Pada langkah terakhir, jahitakan beberapa bahagian setiap bentuk kelopak bunga bagi memberikan bentuk sebenar bunga dengan lengkungan pada setiap kelopak. Gunakan benang berwarna putih dan jahitkan dengan menggunakan tangan (tanpa mesin). Jarakkan setiap jahitan (bukan dengan menjahit kesemua bahagian) setiap kelopak bunga bantal. Setelah membuangkan kesemua habuk dan kesan-kesan kapas semasa proses pembuatan, kini bantal berbentuk bunga tersebut sedia untuk dijadikan perhiasan pada sofa ruangan tamu anda!