Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banteras jenayah rentas sempadan

    BANGKOK, 28 NOV – Ancaman jenayah rentas sempadan di rantau Asia Tenggara (ASEAN) terutama jenayah siber, pemerdagangan orang dan antikeganasan menjadi fokus utama dalam Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-13 (AMMTC) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang turut dihadiri menteri-menteri dan wakil-wakil kerajaan rakan-rakan dialog dari Republik Rakyat China, Jepun dan Korea bermula pada 25 hingga 29 November di Bangkok, Thailand.

    Hadir mewakili Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara.

    Pada mesyuarat itu, menteri-menteri dan rakan dialog ASEAN menekankan pentingnya menangani ancaman-ancaman ini bersama kerana tiada ada sebuah negara pun yang dapat menanganinya secara bersendirian. Sehubungan itu, agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan perlu sentiasa berwaspada dan bersiap sedia bagi mengatasi ancaman ini.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika berucap pada mesyuarat itu, menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada aktiviti jenayah rentas sempadan ini terutama jenayah siber dalam bentuk penyalahgunaan media sosial yang telah pun meningkat dua kali ganda semenjak tahun 2016.

    Yang Berhormat Pehin juga memaklumkan Negara Brunei Darussalam telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengukuhkan dan mengemaskini undang-undang Negara Brunei Darussalam bagi menangani peningkatan ancaman pengganasan, jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan orang.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika mempengeruskan mesyuarat pertama Konsultasi AMMTC-Republik Korea. – Gambar serahan JPM
    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bergambar ramai bersama menteri-menteri dan wakil-wakil ASEAN semasa majlis pembukaan rasmi Mesyuarat AMMTC ke-13. -Gambar serahan JPM.

    Beliau turut menekankan perlunya pendekatan secara kolektif dalam menangani jenayah siber yang sedang bertambah, khususnya melalui media sosial.

    Menteri-menteri ASEAN dan rakan dialog turut menitikberatkan perlunya memupuk amalan perkongsian data dan maklumat risikan di kalangan agensi-agensi di rantau in dan mempersetujui rancangan kerja berupa Pelan Tindakan Kerja ASEAN Mencegah dan Menangani Peningkatan Radikalisme dan Keganasan Ekstremisme 2019-2025.

    Pada mesyuarat itu, negara-negara ASEAN juga melaksanakan beberapa rangka kerja lain dipersetujui bersama dengan rakan dialog terdiri daripada Republik Rakyat China, Korea, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat. Rangka-rangka kerja tersebut berhasrat meningkatkan kapasiti dan keupayaan negara-negara ASEAN dengan memanfaatkan pengetahuan, kepakaran dan kemahiran rakan-rakan dialog.

    Mesyuarat kali ini merupakan satu mesyuarat istimewa di mana buat julung kalinya, konsultasi AMMTC dengan Republik Korea telah diadakan. Yang Berhormat Pehin, mewakili Negara Brunei Darussalam selaku negara penyelaras bagi hubungan dialog ASEAN-Republik Korea, telah mempengerusikan bersama konsultasi bersejarah ini dengan Ketua Pendakwaraya, Pusat Antarabangsa bagi Keadilan Jenayah Republik Korea, Dr Cheol-Kyu Hwang, Mesyuarat lain yang turut diadakan ialah Konsultasi AMMTC+3 ke-10, Konsultasi AMMTC+China ke-7 dan Konsultasi AMMTC+Jepun ke-5.

    Mesyuarat AMMTC ke-14 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan akan diadakan di Vietnam pada 2020, manakala Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat AMMTC ke-15 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan pada 2021.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat tersebut turut disertai oleh setiausaha tetap (Keselamatan dan Penguatkuasaan) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kuasausaha Sementara Negara Brunei Darussalam ke Thailand dan pegawai-pegawai kanan dari JPM.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda