Friday, April 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banteras penyeludupan, tanggungjawab semua rakyat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Syariat agama Islam menganjurkan untuk saling bantu membantu dalam memastikan kesejahteraan dan kemaslahatan manusia dalam pelbagai aspek kehidupan berdasarkan lima prinsip utama maqasid syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

    Melalui prinsip-prinsip tersebut, Islam menggalakkan usaha yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi, keselamatan dan keamanan masyarakat.

    Khatib menegaskan perkara berkenaan semasa menyampaikan Khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Membanteras Penyeludupan Tanggungjawab Bersama dan seterusnya menambah, agama Islam sangat mementingkan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian dalam hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

    Selain itu, tambah khatib, umat Islam juga dituntut supaya tidak berdiam diri terhadap kemungkaran atau perbuatan maksiat kerana tugas amar maruf nahi munkar itu diwajibkan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasulnya.

    Khatib seterusnya menegaskan, Allah akan menurunkan azab jika bersikap berdiam diri dalam perkara munkar.

    Katanya lagi, “selaku rakyat dan penduduk yang cintakan negara, kita bertanggungjawab untuk mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah, agar kesejahteraan dan keharmonian negara dapat dikekalkan.”

    Khatib dalam khutbah seterusnya menjelaskan, antara agensi keselamatan kerajaan yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian negara ialah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang bertanggungjawab membanteras dan mencegah dari berlakunya jenayah dan isu penyeludupan rentas sempadan di negara ini dengan mengawal kemasukan barang di pos-pos sempadan termasuk laluan udara, air dan juga darat.

    Pengawalan berkenaan bertujuan bagi memastikan barangan yang dibawa masuk atau keluar dari negara adalah selamat dan mempunyai permit demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan masyarakat terutama dari segi aspek barangan tegahan dan sekatan, tegas khatib lagi.

    Perbuatan menyeludup bukan sahaja berlaku ke atas barang tegahan dan sekatan tetapi juga berlaku ke atas barang-barang bersubsidi Kerajaan dan pemberian subsidi berkenaan sepatutnya dimanfaatkan dengan betul kerana tujuannya bagi membantu meringankan beban rakyat negara ini.

    Oleh itu, “Kita hendaklah bertanggungjawab dalam memelihara dan menjaga barang bersubsidi yang diberikan oleh pihak Kerajaan seperti minyak kenderaan, beras dan seumpamanya,” tegasnya.

    Sekiranya masalah penyeludupan ini tidak dibendung atau tiada kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat, ini akan mendatangkan kesan buruk dan impak negatif pada kemakmuran, keselamatan dan kestabilan sosio ekonomi negara.

    Seterusnya, aktiviti penyeludupan antaranya boleh mengurangkan pendapatan negara melalui kutipan hasil cukai, menggalakkan berlakunya aktiviti jenayah dan juga memberi kesan negatif pada industri dalam negara di mana peniaga yang jujur akan memberi cukai tetapi penyeludup dengan sewenang-wenang meraih keuntungan tanpa mengenakan sebarang cukai.

    Tanggungjawab untuk meningkatkan kesejahteraan negara tidak hanya terletak di bawah pihak berkuasa, tegasnya, ia merupakan amanah bersama yang harus dipikul oleh setiap lapisan masyarakat.

    Khatib dalam khutbahnya menyeru untuk sama-sama berganding bahu dan bersatu tenaga dalam membantu pihak Kerajaan dalam membanteras dan memberhentikan aktiviti penyeludupan barang yang ditegah seperti minuman keras, rokok, daging yang diragukan status halal dan sebagainya.

    “Dengan melaporkan kepada Jabatan Kastam Dan Eksais Diraja sekiranya terdapat sebarang maklumat dan aktiviti penyeludupan, maka dapatlah semua sama-sama bekerjasama dan berganding bahu dalam menjaga aktiviti penyeludupan ini,” tegasnya.

    Orang ramai diseru untuk melaporkan maklumat kepada pihak berkuasa tentang sebarang aktiviti penyeludupan. – Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda