KOTA KINABALU, 8 MAC – Membantu Pitas, Kota Marudu dan Tongod yang merupakan tiga daerah termiskin di Sabah, merupakan antara fokus Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membantu Negeri di Bawah Bayu itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sendiri telah menyuarakan saranan, supaya KKDW dapat membantu tiga daerah itu termasuk daripada segi pembangunan projek desa melibatkan prasarana dan kemudahan utiliti.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata gerak kerja perlaksanaan itu sedang diteliti KKDW bersama kerajaan Sabah, dalam jawatankuasa teknikal antara dua pihak itu yang dipengerusikan Setiasaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.
“Kami di KKDW pastinya akan laksanakan melalui perbincangan dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, bagi realisasikan hasrat kerajaan negeri
untuk memfokuskan tiga daerah ini keluar daripada kelompok miskin tegar antara daerah termiskin di Sabah,” kata di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan KKDW bersama Kerajaan Sabah Tahun 2023 di sini yang turut dihadiri Hajiji. – Bernama










