Sunday, June 30, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Bantu 50 usahawan asnaf di Labuan

    LABUAN, 27 JUN – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Bank Rakyat dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) hari ini melancarkan Projek Asnafpreneur Bank Rakyat 2.0.

    Ketua Wilayah Sabah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Mohd Azmi Mohd Taib berkata penganjuran projek siri kedua itu adalah inisiatif tiga institusi tersebut dalam membantu usahawan asnaf berpotensi di Labuan memantapkan lagi kemahiran keusahawanan mereka di samping mengembangkan perniagaan sedia ada.

    “Sebanyak 50 peserta yang dipilih oleh MAIWP bakal menerima RM5,000 seorang menerusi dana wakalah Bank Rakyat dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM250,000.

    “Selain itu, usahawan berkenaan juga akan diberi bimbingan menerusi sistem latihan dan pemantauan oleh UMSKAL secara berkala dalam tempoh enam bulan bagi mengukuhkan kebolehan berniaga mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Asnafpreneur Bank Rakyat 2.0 di Menara UMSKAL hari ini.

    Beliau berkata projek itu mencerminkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam membantu masyarakat yang progresif dan inklusif melalui inisiatif pembangunan pemerkasaan usahawan, khususnya bagi meningkatkan status komuniti asnaf demi kesejahteraan serta kemakmuran ekonomi mereka. – Bernama

    Mohd Azmi Mohd Taib (dua, kanan) semasa menyerahkan cek cura Projek Asnafpreneur 2.0 kepada salah seorang penerima di Menara UMSKAL. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...