Oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Bagi membantu atlet mendapat akses kepada peralatan senaman yang betul untuk digunakan dalam latihan, Mayhem Muscle dan B.A.S.E telah merasmikan cawangan gim di Kompleks Sukan Mumong, baru-baru ini.
Hadiri sebagai tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan perasmian gimnasium ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput yang juga pemangku penghulu Mukim Labi dan ketua Kampung Labi 1 yang turut dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat.
Turut hadir ialah Ketua Jabatan Belia dan Sukan Daerah Belait, Gaung Jamit; Pemilik Mayhem Muscle, Jackie Lam; Pengasas Projek Mayhem; Aaron Lim; Pemilik B.A.S.E., Benjamin Sim, para pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Jackie Lam dalam ucapannya menjelaskan bahawa gim itu bertujuan untuk menyediakan pelbagai peralatan latihan kepada orang ramai terutama kepada atlet di Daerah Belait selain membantu menjadikan kompleks itu satu pusat sehenti untuk semua keperluan latihan.
Menurut beliau lagi, pembukaan gim di sini akan membantu memajukan gaya hidup sihat terutama kepada para penduduk di Daerah Belait.
