Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 April – Bagi mencantikkan lagi Rumah Panjang Teraja Labi Ulu Belait yang sering menjadi kunjungan pelancong dalam dan luar negara, Jabatan Daerah Belait telah memberi bantuan mengganti atap bagi rumah panjang berkenaan.
Kerja-kerja penggantian atap berkenaan diadakan setiap hujung minggu dan telah bermula kelmarin.
Sebanyak 500 keping atap telah mula dipasang dalam kerja penggantian tersebut, yang turut disertai sama oleh Mantan Ketua Rumah Panjang Teraja, Jamit anak Lasah dan pengerusi jawatankuasa rumah panjang itu, Burong Nyanggau serta beberapa orang ahli jawatankuasa kerja lainnya dan ahli-ahli Biro wanitanya.
Setiausaha jawatankuasa rumah panjang tersebut, Gaung Jamit menjelaskan bahawa bantuan atap telah disalurkan melalui jabatan berkenaan pada Ogos 2017, bagaimanapun berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan kekurangan kayu, kerja penggantian telah tertunda.

Menurutnya lagi, Rumah Panjang Teraja, pada masa ini, agak terkenal dengan kunjungan pelancongan daripada pelbagai bangsa yang datangnya dari dalam dan luar negara.
Setakat Januari hingga April ini, mereka telah mencatatkan lebih 500 orang pengunjung yang datang ke rumah panjang itu dan berbagai-bagai aktiviti tradisi dan pameran kraf tangan yang dihasilkan oleh biro wanita adalah antara yang turut menarik minat pengunjung.
Selain itu, pengunjung yang berminat menyaksikan keindahan alam juga berpeluang berkunjung ke kawasan air terjun dan singgah ke rumah panjang berkenaan.