Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Sebagai usaha membantu anak-anak dan keluarga yang memerlukan, Unit Perancangan dan Pembangunan Projek Bandar (UPPPB), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), semalam, telah menyerahkan sumbangan berupa peralatan persekolahan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM) bagi Program Infaq Jariah.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh wakil pegawai dan kakitangan UPPPB, JBBSB kepada perwakilan PBSM pada majlis yang diadakan di Letak Kereta VVIP Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Sumbangan tersebut adalah sebagai inisiatif UPPPB, JBBSB dalam memberigakan antara 10 matlamat utama strategik JBBSB dengan memberikan keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan bantuan dan pemedulian orang ramai di kawasan Bandar Seri Begawan (perbandaran dan persekitaran) dalam menaik taraf hidup warga kota agar ia lestari dan harmoni.

Ia diharap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga dan mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi yang melibatkan kesejahteraan masyarakat di Negara Brunei Darussalam sendiri.
Sementara itu, Program Infaq Jariah yang dianjurkan oleh PBSM, baru-baru ini, dibukakan kepada orang ramai menerusi PROJEK IKHLAS 7.0 dengan tujuan untuk mengutip sumbangan keperluan asasi persekolahan daripada orang ramai bagi membantu kanak-kanak sekolah yang terdiri daripada kalangan keluarga asnaf fakir miskin dan asnaf mualaf bagi tahun 2018.