Thursday, February 6, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu graduan bina kemahiran kerjaya

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Kira-kira 150 orang menghadiri Hari Terbuka Program Perantisan Graduan (GAP) yang dianjurkan oleh Bank Baiduri di atrium ibu pejabat bank berkenaan kelmarin.

    Turut hadir pada acara tersebut ialah Ketua Sumber Manusia dan Pentadbiran Kumpulan, Veronica Chong, yang mengadakan sesi temu bual sepanjang acara pada petang itu.

    Menurut kenyataan yang diterima, acara tersebut bertujuan memberikan peluang kepada graduan yang berminat untuk memohon GAP bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai program itu dan bercakap kepada kakitangan Bank Baiduri mengenai kehidupan kerja dalam industri perbankan. Selain itu, bengkel mengenai penulisan CV juga diadakan, dan graduan diberikan tip temuduga untuk mempertingkat lagi penjenamaan peribadi mereka.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata, “Tujuan GAP adalah untuk membantu graduan bertapak kukuh dalam pasaran pekerjaan, dengan mendedahkan mereka kepada persekitaran kerja dunia nyata dan membantu mereka membina kemahiran interpersonal dan yang boleh dipraktikkan dalam kerjaya masa depan mereka.

    “Hari terbuka ini bertujuan memberikan graduan yang berminat untuk memohon dalam program ini pengetahuan lebih mendalam tentang apa yang ditawarkan dan juga struktur program. Mereka juga berpeluang bercakap dengan kakitangan bank, ada di antara mereka merupakan alumni universiti tempatan, untuk mendapatkan gambaran tentang budaya kerja di Bank Baiduri.”

    Graduan bercakap dengan alumni universiti tempatan semasa hari terbuka anjuran Bank Baiduri. – Gambar serahan Bank Baiduri

    Kenyataan juga mengatakan GAP ialah program pembelajaran holistik dan pembangunan selama enam bulan dengan matlamat membekalkan graduan dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperlukan yang dapat membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan dalam pasaran kerja tempatan.

    Program itu dibahagikan kepada dua bahagian utama, iaitu komponen bilik darjah dan penggiliran kerja dalam Bank Baiduri.

    Pemohon yang berjaya akan menyertai program sebagai perantis, justeru memulakan beberapa siri aktiviti pembelajaran dalam kelas di mana mereka akan diperkenalkan kepada dunia perbankan dan memperoleh pengetahuan komprehensif tentang pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan. Mereka juga akan menghadiri kursus bertujuan membantu mereka memperoleh kemahiran interpersonal seperti komunikasi efektif, pengurusan projek, kerja berkumpulan dan kolaborasi untuk mempertingkat kesediaan kerja mereka secara keseluruhannya.

    Perantis berkenaan seterusnya akan menjalani latihan dalam kerja di jabatan berlainan dalam bank, bertujuan menawarkan mereka pengalaman langsung tentang kerja dalam institusi kewangan. Pada akhir program, perantis boleh memohon untuk mana-mana kekosongan yang sesuai dalam Kumpulan Bank Baiduri atau meneruskan kerjaya mereka dengan organisasi lain dalam industri.

    GAP merupakan bukti kukuh komitmen Bank Baiduri untuk membantu graduan dengan membangunkan kemahiran kerja mereka. Ia juga dalam menyokong matlamat pertama bank untuk mencapai wawasan Brunei 2035, untuk diiktiraf atas tenaga kerja berpendidikan, berkemahiran dan berjaya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda