Oleh Wani Roslan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Sebanyak 23 buah keluarga kurang berkemampuan dari STKRJ Kampung Lambak Kiri telah menerima sumbangan makanan dan kewangan anjuran jawatankuasa takmir dan Kumpulan Muslimah Masjid STKRJ Kampung Lambak Kiri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri kepada ketua dan perwakilan keluarga berkenaan, yang juga mengetuai delegasi bagi menyerahkan sumbangan ke rumah-rumah penerima.
Salah seorang penerima yang ditemu bual, Dayang Zatil Nuramilin binti Jerry menyampaikan penghargaannya bagi sumbangan berkenaan.
Ibu kepada tujuh anak itu berkata, beliau berterima kasih atas semua sumbangan yang diberikan dan ia merupakan satu rahmat bagi mereka.
“Ini juga merupakan kali pertama kami menerima sumbangan seumpamanya,” ujar suri rumah itu.
Penyerahan sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti tahunan jawatankuasa takmir dan Kumpulan Muslimah Masjid STKRJ Kampung Lambak Kiri yang bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan dan untuk mengurangkan bebanan mereka terutamanya dalam bulan Ramadan ini.
