SAINT PETERSBURG – Khemah besar di sebuah taman Saint Petersburg bukan sahaja sebuah sarkas tetapi ruang untuk kanak-kanak hilang upaya dan kurang bernasib baik, sering kali disisih oleh masyarakat Rusia, untuk meluahkan perasaan mereka.
Sarkas Upsala ‘untuk delinkuen’ juga baru memenangi hadiah utama teater, meskipun menerima tentangan daripada beberapa pihak berkuasa negeri.
“Semua kanak-kanak terutamanya kanak-kanak yang berisiko memerlukan sesuatu yang menarik, sesuatu yang ‘cool’ untuk memberikan mereka tenaga dan semangat untuk mengubah kehidupan mereka,” kata Larisa Afanasyeva, pengasas dan pengarah seni Upsala.
Beliau memulakan sarkas hampir dua dekad lalu dengan tujuan untuk menawarkan orang muda satu peluang untuk mengembangkan bakat mereka, di sebuah negara dengan hanya peruntukan asas diberikan kepada anak yatim piatu atau kehilangan upaya.
Kira-kira 70 kanak-kanak yang datang daripada keluarga miskin, anak yatim piatu atau kehilangan upaya buat masa sekarang datang ke khemah syarikat sarkas di utara Saint Petersburg untuk membuat persediaan bagi pertunjukan yang kebanyakannya terdiri daripada akrobatik, kira-kira 45 pertunjukan setiap tahun.


Satu persembahan oleh kanak-kanak Down Syndrome pada bulan lalu telah memenangi satu hadiah pada majlis anugerah ‘Golden Mask’ yang biasanya mengiktiraf teater Moscow yang gilang-gemilang.
Syarikat itu telah mencapai kejayaan besar sejak Afanasyeva menubuhnya pada tahun 2000 bersama seorang pelajar Jerman, Astrid Shorn.
Ketika itu, kedua-dua wanita muda itu tidak mempunyai apa-apa kecuali semangat mereka untuk membantu golongan yang tidak berdaya dalam masyarakat Rusia.
Sarkas Upsala tidak mempunyai ruang latihan yang sesuai, dengan itu rombongan tersebut berkumpul di taman dan dataran bandar kedua Rusia.
Berjaya memenangi hadiah utama, akhirnya merupakan satu ‘impian yang menjadi kenyataan’ memberikan perbezaan besar kepada peserta muda, kata Afanasyeva.
Upsala berjaya membeli khemah, termasuklah arena utama dan ruang latihan, lima tahun lalu melalui penaja swasta. Sarkas itu tidak menerima kewangan daripada kerajaan.
Dinding dihiasi dengan graffiti lucu, dengan satu slogan berbunyi: “Jika kamu tidak berkelakuan baik, kami akan menghantar kamu untuk menyertai sarkas.”


“Saya bertemu dengan Larisa dan Astrid apabila mereka menunggang motosikal di sekitar tambak di tebing sungai” di Saint Petersburg, kata Nikolai Grudino, kini berusia 25 tahun, tentang pertemuan pertamanya dengan pengasas sarkas ketika beliau berusia 10 tahun.
“Keadaan pada masa itu amat sukar untuk keluarga saya dan saya memilih untuk menghabiskan masa di luar rumah.
“Namun selepas saya bertemu dengan Larisa, saya sedar adalah lebih menyeronokkan untuk berada dalam sarkas daripada melepak-lepak di jalan,” katanya, menambah sarkas berjaya mengubahnya daripada seorang ‘delinkuen’ kepada seorang artis.
Namun meskipun kejayaannya, Afanasyeva merasakan projek itu “tidak mempunyai kemajuan,” sebahagian besar disebabkan tentangan daripada sesetengah orang yang mengendali perkhidmatan negeri seperti rumah anak yatim.
“Adalah lebih mudah apabila kami bermula pada awal tahun 2000. Pada masa itu, segalanya adalah lebih terbuka. Sekarang terdapat terlalu banyak peraturan, terlalu banyak perkara yang tidak boleh dilakukan,” beritahunya kepada AFP.
Rumah anak yatim lebih suka anak-anak di bawah jagaan mereka mengambil bahagian dalam aktiviti yang lebih baik dan bermoral atau ‘bersifat patriotik’, kata beliau.
“Kami mengajar kanak-kanak supaya bebas dan ia merupakan satu prospek yang menakutkan.
“Pihak berkuasa hanya mahu kanak-kanak menjauhi diri mereka daripada masalah, tetapi kami bercakap mengenai kebebasan dan seni.” – AFP