Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu melalui SMS, aplikasi ke TABP

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Dalam hasrat untuk membantu Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan memastikan pesakit mendapat akses penjagaan kesihatan, Majlis Pelancaran Perkhidmatan SMS dan Aplikasi MyDST untuk kutipan ihsan bagi Tabung Amal Bantuan Pesakit (TABP) Kementerian Kesihatan telah berlangsung di Dewan Mutiara Skyline, Bangunan Mutiara Exchange hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis pelancaran berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dengan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Radin Sufri Radin Basiuni.

    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menghadiri majlis pelancaran berkenaan.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, wakil-wakil daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jerudong Park Medical Centre, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Kesihatan serta DST.

    Terdahulu sebelum pelancaran berkenaan, Raden Sufri dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa DST sejak awal 2024 telah bekerjasama rapat dengan Unit Sosial Perubatan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial DST iaitu Ihsan Kasih.

    Melalui inisiatif berkenaan, DST telah membantu menyediakan peralatan perubatan dan bekalan kesihatan kepada pesakit-pesakit yang dikenal pasti sebagai kurang berkemampuan oleh para pekerja sosial perubatan.

    “Sepanjang dua tahun ini, DST dan juga pihak kementerian telah bersama-sama menganjurkan dua siri charity drive di bawah Ishan Kasih dan telah memberi manfaat kepada kira-kira 60 orang pesakit,” ujar Raden Sufri.

    Raden Sufri menyampaikan kata alu-aluannya pada majlis berkenaan.

    Beliau menyatakan bahawa pelancaran inisiatif crowd-funding community menandakan satu lagi pencapaian penting bagi DST melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, yang pertama seumpamanya di negara ini, bagi menyokong tabung amal bantuan pesakit melalui perkhidmatan SMS dan aplikasi MyDST. 

    Pada pelancaran berkenaan, tayangan klip video dipersembahkan yang memaparkan tujuan kutipan Tabung berkenaan dan diikuti dengan video yang menunjukkan langkah demi langkah cara untuk membuat sumbangan melalui aplikasi MyDST dan SMS.

    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyempurnakan pelancaran perkhidmatan berkenaan.

    Orang ramai berpeluang untuk menyumbang kepada Tabung Amal Bantuan Pesakit Kementerian Kesihatan bermula pada hari ini, 25 Ogos melalui dua saluran mudah iaitu melalui Perkhidmatan SMS dengan menaip IHSAN 1/5/10/15/20/50/100 untuk sumbangan $1/$5/$10/$15/$20/$50/$100 dan hantar ke 38111.

    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham berpeluang membuat sumbangan kepada tabung berkenaan.

    Mereka juga boleh membuat sumbangan dengan lebih mudah melalui aplikasi MyDST dengan langkah-langkah berikut iaitu: menekan butang Donation, memilih Gov Services, memilih MOH, menekan Tabung Amal Bantuan Pesakit Kementerian Kesihatan dan memilih jumlah sumbangan yang diinginkan serta memasukkan Security Pin.

    TABP telah dilancarkan pada 30 Mac 2007 lalu dan dikendalikan oleh Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan.

    Tabung itu adalah untuk bantuan serta merta dan secara sementara kepada pesakit yang dirujuk ke Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan bagi memastikan pesakit akan mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan sokongan psiko-sosial demi meningkatkan kualiti hidup mereka.

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (MSW) iaitu Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di talian, 2242424 sambungan 5809, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait di talian, 3335331 sambungan 4224 / 4227 dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong di talian 4221010 sambungan 174 / 175 atau melalui e-mel, msw@moh.gov.bn.

    Gambar ramai antara YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan para jemputan khas di akhir majlis pelancaran berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda