Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu mudahkan proses permohonan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang dikuatkuasakan hari ini menyejajarkan proses pemberian bantuan yang dikendalikan oleh agensi-agensi berkenaan yang meningkatkan kerjasama dalam perkongsian maklumat melalui tertubuhnya pangkalan data berpusat.

    Permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang www.skn.gov.bn sama ada menggunakan komputer ataupun telefon pintar di mana pada peringkat ini, permohonan secara dalam talian hanya dibukakan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berhasrat untuk memohon skim Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) sahaja yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

    Sementara itu, Pemangku Ketua Kampung Kulapis, Awang Asyramisyanie bin Kamis ketika ditemui pihak Media Permata menjelaskan bahawa beliau memberikan kemudahan Internet, pengimbas mahupun komputer untuk membuat pendaftaran tersebut bagi penduduk atau anak buah kampung tersebut yang mempunyai masalah atau keterbatasan akses untuk membuat pendaftaran secara dalam talian.

    Beliau turut membantu golongan-golongan penerima bantuan daripada kalangan mereka yang berusia untuk membuat pendaftaran berkenaan dan mereka hanya perlu memberikan maklumat peribadi yang penting sahaja bagi melengkapkan pendaftaran SKN tersebut.

    “Selaku pemangku ketua Kampung Kulapis, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk mempermudahkan urusan pendaftaran SKN ini tambahan lagi para pemohon bantuan ini ada yang mempunyai keterbatasan akses Internet dan sebagainya.

    “Apa yang saya lakukan adalah dengan menyediakan kemudahan komputer, alat pengimbas dan akses Internet bagi memudahkan mereka melakukan permohonan secara dalam talian,” ujarnya.

    “Ia merupakan tanggungjawab saya bagi memastikan kesejahteraan penduduk kampung sentiasa terpelihara dengan memudahkan urusan permohonan mereka ini,” tambah Awang Asyramisyanie lagi.

    Awang Asyramisyanie semasa membantu mendaftarkan permohonan salah seorang anak buah kampungnya.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda