Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Bantu OKU capai potensi maksimum

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Menurut Banci Penduduk dan Perumahan Negara Brunei Darussalam 2021, kira-kira 1.6 peratus daripada jumlah penduduk atau 7,024 orang individu mempunyai sekurang-kurangnya satu ciri kelainan upaya.

    Dalam kalangan mereka yang mempunyai kelainan upaya itu, majoriti iaitu 58.5 peratus adalah dalam kumpulan umur yang produktif iaitu 15 hingga 64 tahun dan 25.6 peratus adalah kumpulan di bawah umur 15 tahun.

    “Selain itu, 78 peratus individu kelainan upaya mempunyai satu ciri kelainan upaya dan selebihnya iaitu 22 peratus mempunyai pelbagai ciri kelainan upaya.”

    Perangkaan itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) 2023 yang berlangsung di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), hari ini.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai bersama rakan-rakan yang menjayakan acara sambutan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyatakan bahawa pada 2016, Negara Brunei Darussalam telah mengesahkan satu prinsip Konvensyen Mengenai Hak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berfungsi sebagai isyarat dan panduan dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat di mana OKU bukan sekadar untuk diberikan bantuan dan sokongan tetapi dijadikan sebagai ejen perubahan yang aktif.

    “Selaras dengan komitmen negara kepada konvensyen ini, Negara Brunei Darussalam telah mengubah dan memulakan perjalanan ke arah sebuah masyarakat yang inklusif di mana OKU boleh berkembang maju.”

    Beliau seterusnya berkata dalam hal itu, rawatan pemulihan rehabilitasi memainkan peranan penting dalam memperkasa OKU untuk mencapai potensi mereka yang maksimum.

    Melalui pemulihan rehabilitasi, individu boleh mendapatkan semula atau memperbaiki fungsi fizikal, kognitif dan emosi mereka serta membolehkan mereka mengambil bahagian secara lebih aktif dalam masyarakat.

    Beliau berkata lagi bahawa akses kepada perkhidmatan pemulihan rehabilitasi yang berkualiti boleh meningkatkan kehidupan OKU dengan ketara, memperkasakan mereka untuk lebih berdikari, dapat melakukan aktiviti harian dan mampu mengambil bahagian sepenuhnya dalam masyarakat.

    HAOKU merupakan acara tahunan untuk meningkatkan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi oleh OKU dan untuk menggalakkan mereka mengambil bahagian sepenuhnya dalam semua aspek masyarakat dengan sama rata.

    Ia juga berfungsi sebagai satu platform untuk memperjuangkan hak dan maruah bagi OKU, menggariskan kepentingan bagi akses, inklusiviti dan peluang yang sama bagi OKU serta meraikan pencapaian dan sumbangan yang telah diberikan oleh mereka kepada masyarakat.

    Sambutan pada 2023 membawa tema Bersatu Padu dalam Tindakan Menyelamat dan Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk, dengan dan oleh OKU, di mana ia menggariskan kepentingan mendalam mengenai inklusiviti dan kerjasama semua pihak untuk menjadikan dunia di mana OKU diperkasa untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam masyarakat dan menyumbang kepada merealisasikan SDG.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...