Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu pelajar buat keputusan kewangan bijak

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Program Eksekutif Muda (Kohort 10) bersama Kumpulan SriSatria telah menganjurkan acara bual bicara dengan tema Pengetahuan Ilmu Kewangan bagi Penuntut Institusi Pengajian Tinggi di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Acara yang dihadiri kira-kira 50 pelajar institusi pengajian tinggi bersama tenaga pengajar universiti itu merupakan salah satu aktiviti Projek Khidmat Masyarakat kumpulan berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Hamdani bin Haji Mohd Diah. Turut hadir, Dekan Pelajar UBD, Dr Mursidi bin Haji Ali; Timbalan Dekan Pelajar, Dayang Rozita binti Haji Tamin; Pegawai Pelajaran Kanan selaku Ketua Unit Pendidikan Kewangan di Jabatan Perkembangan Kurikulum, Haji Siti Raudhah Hazimah binti Haji Abdul Wahab; serta pegawai-pegawai dan kakitangan UBD.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awang Muhammad Nur Al-Hafiz bin Haji Hamidi selaku ahli penyelaras acara.

    Sementara itu, ceramah pengetahuan kewangan disampaikan oleh Dayang Siti Aminah binti Haji Abdul Rahman dari Bank Baiduri Berhad dengan tajuk Navigating to Financial Wellbeing, manakala wakil dari Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd, Arvin Rizqi Ong Kai Yi membentangkan topik Purposeful Finances: Plan, Track, Achieve! bagi membantu pelajar membuat keputusan kewangan yang bijak.

    Acara turut diserikan dengan kuiz interaktif mengenai pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan kewangan, dengan hadiah-hadiah disumbangkan oleh institusi kewangan yang terlibat.

    Melalui inisiatif itu, pihak penganjur berharap para pelajar dapat menghayati kepentingan pendidikan kewangan sebagai asas kepada pengurusan hidup yang terancang, berdisiplin dan berwawasan.

    Pengetahuan berkenaan diharap dapat membentuk tabiat kewangan yang sihat seawal peringkat pengajian, sekali gus mempersiapkan mereka untuk mencapai kejayaan peribadi dan profesional pada masa hadapan.

    Di samping itu, usaha tersebut juga selaras dengan aspirasi Majlis Kebangsaan Celik Kewangan untuk melahirkan masyarakat Brunei yang celik kewangan, berkemahiran mengurus sumber secara bijak, serta mampu membuat keputusan kewangan yang bertanggungjawab demi kesejahteraan jangka panjang.

    Awang Ali Hamdani hadir selaku tetamu kehormat pada acara soal bicara di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara pelajar yang hadir pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda