Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu pelajar lalui fasa peralihan di universiti

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Tahun pengajian di universiti merupakan fasa perkembangan yang penting di mana pelajar-pelajar melalui proses peralihan daripada remaja ke kedewasaan dan mereka dikenal pasti sebagai golongan mudah terdedah kepada kesihatan mental disebabkan oleh tekanan persekitaran universiti dan permintaan serta keinginan terhadap perkembangan dan kesedaran diri.

    Kemasukan ke alam universiti merupakan fasa peralihan bagi orang muda di mana melalui peralihan ini, pelajar berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu seperti berdikari dalam membuat keputusan sendiri mengenai kehidupan dan pengajian mereka, mengimbangi permintaan akademik dengan persekitaran struktur pembelajaran yang baru dan berinteraksi dengan pelbagai individu.

    Oleh itu, adalah penting bagi pihak-pihak yang berkaitan untuk mengetahui dan memahami keadaan dan situasi yang dilalui oleh para pelajar belia kita agar sokongan dan motivasi dapat disalurkan secara berterusan kepada mereka sepanjang melalui fasa berkenaan.

    Perkara itu ditekankan oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Hajah Norwati binti Haji Abu Bakar semasa mengulas mengenai tema Jerayawara Kesejahteraan Mental 2023, Mental Sejahtera, Generasi Hebat dalam ucapan alu-aluannya pada majlis pelancaran jerayawara berkenaan di Pusat Perhubungan Pemasaran Perniagaan (BMCC), Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar. Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Setiausaha (Dasar dan Perancangan), Kementerian Kesi-hatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman.

    Selepas ucapan alu-aluan, majlis diserikan dengan tazkirah khas bertajuk Mental Sejahtera: Kunci Kejayaan Generasi Hebat yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor di Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, KUPU SB, Dr Harapandi Dahri.

    Antara pengisian jerayawara termasuk pameran berkaitan kesihatan mental menurut perspektif Islam, solat dan kesejahteraan mental, penghayatan bacaan dalam solat dan zikir, kesejahteraan mental dalam keluarga, penjagaan kesihatan diri dalam Islam (jasmani dan pemakanan), perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan mental di Kementerian Kesihatan, penjagaan kesihatan mental secara holistik termasuk garis panduan kegiatan fizikal kebangsaan bagi Negara Brunei Darussalam, BN on The Move dan Healthy Index Risk Assessment.

    Turut diadakan adalah sesi kongsi sama oleh pakar dan ilmuan dari Kementerian Kesihatan dan KUPU SB dalam pelbagai tajuk selain beberapa aktiviti seperti deep breathing relaxation techniques, grounding techniques, terapi solat, tasmik bacaan solat dan Tanya Ustaz Ustazah.

    Dr Hajah Norwati menyampaikan ucapan alu-aluan selaku pengerusi bersama. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Dr Haji Adanan hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran Jerayawara Kesejahteraan Mental 2023, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda