Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu ringan tekanan pesakit kanser

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Seti Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, hari ini, telah merasmikan Perkhemahan Survivor Kanser Tahunan ke-7 yang disertai oleh seramai 20 orang kanak-kanak yang pulih daripada penyakit kanser.

    Perasmiannya yang diadakan di Pusat Promosi Kesihatan itu akan berlangsung selama tiga hari hingga 1 Disember yang dimuatkan dengan pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan.

    Semasa perasmian perkhemahan anjuran Unit Terapi Pekerjaan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha itu, Yang Berhormat Dato bersama para jemputan turut serta dalam kegiatan senamrobik yang juga melibatkan para peserta, ibu bapa serta para sukarelawan.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Presiden Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), Haji Mohd Suffian Haji Zainal Abidin menyatakan bahawa beliau bersama dengan salah seorang kanak-kanak YASKA, Dayang Alya Nadirah binti Kudilah akan menyertai Persidangan Kanser Kanak-kanak Antarabangsa Asia 2020 yang akan berlangsung di Mumbai, India selama dua hari iaitu pada 27 hingga 28 Mac 2020 nanti. Persidangan itu, jelasnya akan membawa tema, Better Care, Better Cure and Better Life, di mana pelbagai topik akan disentuh termasuk amalan terbaik, model amalan terbaik dan aktiviti inovatif yang berkisar kepada tema persidangan daripada pandangan keluarga, pengamal perubatan, pekerja sosial dan jururawat.

    Sementara itu, Dayang Alya Nadirah yang berusia 12 tahun, menyatakan perasaan teruja kerana dipilih untuk menyertai persidangan itu dan berharap akan dapat menimba ilmu pengetahuan serta belajar daripada pengalaman kanak-kanak lain yang menghidap kanser.

    Ketika mengulas mengenai dengan mesejnya kepada pesakit-pesakit kanser yang lain, beliau berkata mereka harus terus berjuang dan tidak putus asa untuk meneruskan kehidupan bagi diri mereka serta orang-orang yang disayangi.

    Program perkhemahan itu bermatlamat untuk menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan bagi kanak-kanak yang menghidap kanser, memberikan peluang kepada mereka untuk berseronok dan bergaul seperti kanak-kanak lain serta membantu membuang perasaan tekanan dalam kalangan diri para peserta.

    Sepanjang perkhemahan selama tiga hari itu, kanak-kanak akan menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk berkunjung ke Taman Permainan Air Jerudong serta aktiviti lawatan dan riadah ke tempat-tempat menarik.

    Perkhemahan yang disokong oleh YASKA dikendalikan dengan bantuan daripada sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan institusi pendidikan yang lain, profesional kesihatan dan pelbagai profesional kesihatan bersekutu. Para peserta yang dijemput untuk menyertai perkhemahan berkenaan diberikan seorang sukarelawan pendamping yang bertanggungjawab untuk menjaga peserta berkenaan sepanjang perkhemahan itu.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika bersenamrobik bersama kanak-kanak yang pulih daripada penyakit kanser di Pusat Promosi Kesihatan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bergambar ramai dengan peserta, ibu bapa dan sukarelawan Perkhemahan Survivor Kanser Ke-7 yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda