Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu ringankan beban keluarga kurang berkemampuan

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Tujuh buah keluarga dari Mukim Lumapas dan Mukim Sengkurong telah menerima sumbangan sempena Program Ihsan Ramadan 1445 anjuran bersama Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Majlis Belia Brunei yang disokong oleh Projek #INFAQ1.

    Program tersebut bertujuan meringankan beban keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan dan membantu mereka dalam persiapan sempena sambutan Hari Raya
    Aidilfitri.

    Antara sumbangan yang disampaikan termasuk barangan asasi, hamper raya dan wang tunai. Di samping itu, beberapa buah keluarga juga telah menerima barangan elektronik seperti kipas dan juga barang keperluan anak damit.

    Selain penyampaian barang sumbangan, rombongan juga berpeluang bersemuka dengan ahli-ahli keluarga tersebut bagi memahami keadaan keluarga dengan lebih mendalam dan mengenal pasti intervensi yang bersesuaian bagi membantu meningkatkan lagi kesejahteraan keluarga berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong; Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim; dan Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei, Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

    Pengurus program tersebut, Mohammad Ashmeer melahirkan penghargaan kepada penyumbang-penyumbang yang telah membawa kegembiraan kepada para penerima dan berharap program ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan keluarga-keluarga yang tertentu lebih-lebih lagi dengan kedatangan bulan Syawal.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan rombongan bergambar ramai bersama salah seorang penerima sumbangan pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN MAJLIS BELIA BRUNEI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda