Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam menangani penularan pandemik COVID-19 di Brunei, syarikat-syarikat swasta dan persatuan-persatuan tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan kepada Kementerian Kesihatan dalam majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di kementerian berkenaan, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, sumbangan diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Pada majlis berkenaan, Soon Lee Holdings (SLH) menyampaikan sumbangan cek bernilai $100,000 yang disampaikan oleh Pengawal Kewangan SLH, Helen Ong, Grand Management Company (GMC) menyumbangkan 1,200 unit hand sanitizer, 4,000 penutup hidung dan mulut, 10,000 sarung tangan saiz M dan 10,000 sarung tangan saiz L yang disampaikan oleh pengarah-pengarah GMC, Eddy Ong dan Drag Ong.
Manakala itu, Borneo United Enterprise Sdn Bhd menyampaikan sumbangan cek berjumlah $20,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Stanley Lim Hock Ghim.
Sementara itu, Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman turut menerima sumbangan yang disampaikan oleh beberapa buah syarikat pada majlis di Kementerian Kesihatan.
Dalam majlis itu, Hotel Stone Ville Temburong menyampaikan cek berjumlah $10,000 yang disampaikan oleh Pengurus, Cheng Chiew Ann, Syarikat Ampuan Haji Salleh Quarry Temburong menyampaikan sumbangan cek berjumlah $3,000 yang disampaikan oleh pengurus syarikat, Ampuan Haji Salleh bin Ampuan Haji Judah dan Tan Soon Hsing.
Haji Abdul Manap turut menerima sumbangan cek bernilai $10,000 daripada HSE Engineering yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif, Michael Chang, cek $3,000 daripada Air Cat Logistics Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengurus Besar, Thomas Koh, cek berjumlah $3,000 daripada Firoz Jaya Silkhouse Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Firoz Khan Namroz Khan dan cek berjumlah $1,000 daripada Emadin Contractor yang disampaikan oleh wakil pihak pengurus, Haji Japar bin Suyut.
Sementara itu, Aiking Trading Co Sdn Bhd menyumbangkan sebanyak 100 karton minuman Mr Brown Coffee yang disampaikan oleh Eksekutif Pentadbiran Aiking, Dayang Nurul Afiezah binti Juhar dan diterima oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Kesihatan, Dayang Sufinah binti Haji Serudin pada majlis yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.