Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Sebagai usaha berterusan untuk menyantuni Rakan Seliaan (RS) serta membantu mereka menjana pendapatan, Aftercare Support Association (AFSA) mengadakan bengkel membuat kuih tradisional iaitu kuih seri muka di Ibu Pejabat AFSA, Jalan Kebangsaan, baru-baru ini.
Bengkel berkenaan merupakan inisiatif berterusan AFSA dalam menyantuni RS untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pembuatan kuih tradisi Brunei dan membantu mereka dari segi perekonomian.
Seramai tujuh orang RS menyertai bengkel yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Brunei Darussalam Creative Centre, Syed Mohammad Halwi bin Borhan, di mana pusat berkenaan merupakan pihak berkepentingan AFSA bagi sama-sama membantu RS.
Hadir menyokong dan menyertai bengkel itu ialah Yang Dipertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya; Timbalan Yang Dipertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri; penyelaras bengkel, Dayang Nur Farzana binti Omar Ali; ahli AFSA, Pauline dan RS.
Ketika mengulas penyertaan RS dalam bengkel, Dayang Nur Farzana menyatakan amat kagum dengan kesungguhan RS mempelajari dan mendalami pengetahuan dalam bidang pembuatan kuih yang bermanfaat kepada mereka.