Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu tambah bekalan darah bermula hari ini hingga 26 Oktober

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Orang ramai diseru untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu meningkatkan bekalan darah di Negara Brunei Darussalam dengan mengambil bahagian dalam kempen-kempen menderma darah.

    Dalam hubungan itu, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal akan mengadakan kempen derma darah yang dibukakan penyertaan kepada orang ramai pada 21 Oktober di Tingkat 2, Kompleks Annajat, Beribi bermula 10 pagi hingga pukul 3 petang, pada 23 Oktober di Tingkat Bawah, Pusat Membeli-belah Freshco, Batu Satu, Plaza Abdul Razak bermula pukul 10 pagi hingga pukul 3 petang.

    Kemudian, pada 24 Oktober di Atrium, Pusat Promosi Kesihatan sempena ulang tahunnya ke-15 bermula pukul 10 pagi hingga pukul 3 petang, serta pada 26 Oktober di Tingkat Bawah, Pusat Membeli-belah One City, Salambigar anjuran Pejabat Pos sempena Hari Pos Sedunia 2024 bermula pukul 10 pagi hingga pukul 2:30 petang.

    Di samping itu, orang ramai juga dialu-alukan menderma darah dengan datang terus ke Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi menderma darah pada waktu bekerja bermula pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan pukul 1:30 petang hingga 4 petang.

    Manakala itu, Tabung Darah Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong juga akan mengadakan kempen derma darah pada 22 Oktober di Tingkat Bawah, Hospital PMMPMHAMB, Tutong bermula pukul 10:30 pagi hingga pukul 11:30 pagi dan pukul 1:30 petang hingga pukul 3:30 petang.

    Para penderma darah yang berminat digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen derma darah berkenaan.

    GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda