Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Dengan hasrat untuk terus menaburkan khidmat bakti menerusi kegiatan berkebajikan kepada masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), cawangan Operasi B, Daerah Belait telah mengadakan Kempen Derma Darah Sempena Sambutan Ulang Tahun JBP ke-59 yang berlangsung di Pusat Membeli-belah KBSentral baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP cawangan Operasi B, Daerah Belait, di sini, kempen tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan di mana seramai 66 orang hadir untuk menderma darah dan 49 orang berjaya menderma darah yang terdiri daripada orang awam, kakitangan kerajaan dan swasta serta anggota bomba dan penyelamat dari cawangan berkenaan.
Hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi B, SFR Mohd Shazwan bin Suhanie, pegawai-pegawai, anggota dan kakitangan JBP cawangan tersebut.
Kempen derma darah berkenaan merupakan antara aktiviti tahunan yang sering dijalankan di keempat-empat buah daerah mengikut tadahan cawangan masing-masing dengan kerjasama dari Pusat Penderma Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan.
Pihak JBP, Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait dalam kenyataannya lagi menyatakan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama pada Pusat Penderma Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital RIPAS, Kompleks Membeli-belah KBSentral, Kuala Belait dan para penderma atas sumbangan mereka dalam menjayakan kempen berkenaan dan berharap kempen seumpama ini akan dapat memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Dengan adanya aktiviti berkenaan, ia juga dihasratkan dapat memberikan bantuan pada Pusat Penderma Darah bagi mengumpul darah yang diperlukan di Unit Tabung Darah dan dapat mencapai keberkesanan yang positif ke arah kesedaran khususnya kepada anggota bomba, kakitangan kerajaan serta orang awam sebagai masyarakat yang bertanggungjawab serta benar-benar memahami akan keperluan semasa.
Aktiviti itu juga akan terus dijalankan dari semasa ke semasa untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat serta meningkatkan lagi jumlah simpanan tabung darah bagi membantu pesakit yang memerlukan.
