Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Orang ramai diseru untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu meningkatkan bekalan darah negara dengan mengambil bahagian dalam kempen-kempen men-derma darah.
Sehubungan dengan itu, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan mengadakan kempen derma darah yang dibukakan penyertaannya kepada orang ramai pada 27 Julai di Tingkat 1, Arno Zoey Wonderland, Pusat Membeli-belah Mid Valley bermula jam 10 pagi hingga pukul 2:30 petang.
Di samping itu, Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait juga akan mengadakan kempen derma darah pada 28 Julai di Bangunan Learning Development Centre, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait bermula pukul 8:30 pagi hingga pukul 3 petang.
Orang ramai juga dialu-alukan untuk datang terus ke Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada waktu bekerja bermula 8 hingga 11:30 pagi dan pukul 1:30 hingga 3:30 petang.
Para penderma darah yang berminat digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen berkenaan.


