Saya ada terbaca satu artikel akhbar bertajuk ‘Jimat duit’ faktor utama bercuti di negara sendiri yang disiarkan dalam akhbar Media Permata bertarikh 27 Disember lalu.
Dalam artikel itu menyatakan setiap kali percutian hujung tahun, kebanyakan orang di negara ini sering bercuti ke luar negara. Bagaimanapun, hasil tinjauan Media Permata di laman-laman media sosial, masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat lebih memilih untuk bercuti di dalam negara dengan alasan ‘jimat duit’.
Sejujurnya saya bersetuju dengan alasan itu, yang pada pandangan saya, berbelanja di negara sendiri bukan saja menjimatkan perbelanjaan kita kerana kurangnya kos tinggi untuk keluar negara, malah secara tidak langsung, kita dapat meningkatkan ekonomi peniaga-peniaga tempatan.
Baru-baru ini, beberapa ahli keluarga saya bercuti ke luar negara namun merasa kurang berbaloi dengan percutian mereka. Ini kerana kebanyakan perbelanjaan mereka habis dari segi kos perjalanan dan penginapan serta kebanyakan harga-harga barang di luar negara agak mahal berbanding di negara sendiri.
Saya akui, sebenarnya gedung-gedung perniagaan di negara ini menawarkan promosi jualan murah dan kebanyakan barang yang dijual juga berkualiti tinggi. Di samping itu juga, bersempena bulan Disember ini, sejumlah lagi festival yang menarik diadakan untuk kunjungan orang ramai.

Namun agak menyedihkan kerana semua promosi dan festival diadakan kurang mendapat sambutan daripada orang ramai. Justeru di mana silapnya? Adakah pihak penjual atau penganjur kurang promosi?
Atau sememangnya festival dan jualan mereka kurang menarik? Atau orang ramai lebih suka bercuti sambil berbelanja di luar negara?
Perkara ini sepatutnya dikaji oleh pihak relevan kerana perbelanjaan orang ramai ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan ekonomi negara malah memulihkan ekonomi domestik selepas terkesan dengan penularan wabak COVID dua tahun lepas.
Melalui perbelanjaan domestik ini juga, dapat meningkatkan penghasilan produk tempatan sekali gus memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Di samping itu juga, sebenarnya banyak destinasi pelancongan domestik yang menarik untuk dikunjungi bagi menggerakkan industri pelancongan negara.
Saya mencadangkan media kerajaan atau swasta seperti Media Permata dan Borneo Bulletin serta portal-portal berita seperti the Scoop, Bruneian memperbanyakkan promosi pelancongan di negara ini. Misalnya melalui berita dan rencana atau menyediakan satu ruangan informasi Kenali Negara Kitani. Justeru, mungkin melaluinya, sedikit sebanyak dapat membantu industri pelancongan negara.
Pengguna






