Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu usahawan muda bina perniagaan

    KUALA TERENGGANU – Seorang usahawan makanan Muhammad Hanif Mat Zain tidak pernah menyesal memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya biarpun memiliki segulung ijazah dalam bidang Sains Kimia.

    Sebaliknya anak muda yang berasal dari Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu, Malaysia itu amat bersyukur dan menganggap ia satu keputusan tepat walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan halangan sebelum perniagaan popia pisang (Popis) yang diinovasikan daripada makanan ringan popular Indonesia, dikenali serta diterima ramai.

    Mengimbas detik awal berniaga, Muhammad Hanif, 28, berkata dia bermula dengan menjual karipap di gerai di hadapan rumah kakaknya selepas usaha mendapatkan pekerjaan dalam bidang sesuai menemui jalan buntu.

    “Saya memang tidak berhasrat untuk mencari pekerjaan di luar Terengganu kerana ingin dekat dengan keluarga dan juga tidak sukakan suasana sibuk seperti di Kuala Lumpur.

    Bagaimanapun agak sukar untuk mencari pekerjaan sebagai ahli kimia di sini (Terengganu), jika ada pun, peluangnya sangat terhad.

    Muhammad Hanif Mat Zain, menyediakan popis di premisnya. – Bernama
    Popia pisang (Popis), produk makanan yang telah diinovasikan daripada makanan ringan popular dari Indonesia yang dijual di premisnya di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini. – Bernama

    “Untuk mengisi masa lapang dan mencari duit poket, saya memilih untuk berniaga karipap dan menjadi wakil drop-ship (pesan hantar) seperti telekung dan pakaian, tetapi semuanya gagal sehingga membuatkan saya hampir berputus asa,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya, di sini.

    Katanya dia mendapat idea untuk menjual Popis ketika menikmati pisang goreng keju dan teringat di Indonesia pula popular dengan popia pisang maka hasil gabungan kedua-dua menu itu dia memilih untuk menghasilkan Popis. Muhammad Hanif berkata berkat kesabaran, doa keluarga dan sokongan daripada agensi kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dia mampu ‘bertatih’ dan mengukuhkan jenama Popis yang mula dibina pada 2016. Menurut graduan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) umpamanya amat membantu para peniaga tempatan memperkenalkan jenama produk masing-masing sekali gus melonjakkan lagi jumlah jualan.

    “Selain itu Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) juga sangat bagus dalam mendidik rakyat supaya lebih peka dan menghargai produk keluaran tempatan yang berkualiti.

    Secara tidak langsung ia menyemai semangat patriotisme dalam diri masing-masing sekali gus membina rantaian ekonomi dalam negara yang lebih kukuh dan tersusun.

    “Saya sebenarnya sangat teruja untuk menyertai karnival atau kempen sebegini yang diadakan oleh KPDNHEP di pasar raya atau pusat beli-belah di seluruh negara kerana ia akan memberi manfaat besar kepada usahawan kecil seperti saya,” katanya yang masih belum berkeluarga.

    Selain itu, Muhammad Hanif berkata dia juga amat beruntung kerana terpilih menyertai program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES) anjuran YPU pada 2018.

    Katanya, melalui program itu banyak ilmu berkaitan perniagaan dapat dipelajari terutama dalam pengurusan kewangan, sumber manusia dan risiko luar jangka yang menentukan jatuh bangun sesebuah perniagaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda