Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Ekspo Usahawan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kilanas 2025 telah dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Razytaa, Bangunan Pengiran Haji Othman, Sengkurong ‘B’ pagi tadi.
Majlis perasmian disempurnakan bersama oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim serta Penasihat MPK Kilanas, Haji Mat Rais bin Haji Sabtu.
Ekspo yang julung kali dianjurkan oleh MPK Kilanas dengan sokongan penuh dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu bermula pada 28 Mei sehingga 1 Jun dan dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Ekspo Usahawan MPK Kilanas 2025 bertujuan menghimpunkan para usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari dalam dan luar negara. Ia menyediakan platform penting untuk pameran produk dan perkhidmatan, pemadanan perniagaan serta pelancaran produk-produk baharu.
Selain itu, acara itu juga dirancang untuk membantu para usahawan memperluaskan jaringan kerjasama, meneroka pasaran yang lebih luas dan mendapatkan pemahaman mendalam mengenai trend semasa dalam industri.
Penganjuran ekspo seumpama itu diharap dapat menyuntik semangat keusahawanan dalam kalangan penduduk setempat dan menyokong agenda pembangunan ekonomi negara selaras dengan Wawasan Brunei 2035.




