Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Sukarelawan daripada kalangan belia dan beliawanis masjid mungkin akan diperlukan bagi membantu pembersihan masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Bantuan pembersihan masjid berkenaan adalah untuk fasa kedua, yang mana fasa pertama pembersihan masjid menggunakan cecair pembasmi kuman dilakukan oleh beberapa buah syarikat yang telah dilantik.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyatakan perkara berkenaan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan, para sukarelawan mungkin akan diperlukan untuk mengendali beberapa perkara seperti pembersihan masjid, mengendalikan jemaah, dan banyak lagi.
Sudah tentu para sukarelawan berkenaan akan dilatih terlebih dahulu mengikut SOP Kementerian Kesihatan agar mereka lebih peka dan lebih berhati-hati menangani penularan COVID-19, tambah beliau.
Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid sebelum ini telah membelanjakan hampir $250,000 bagi pembersihan 116 buah masjid di seluruh negara.
