Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantuan beras APTERR disalurkan ke negara terjejas banjir

    PHNOM PENH, 30 SEPT – Diplomasi ASEAN kini melangkaui sempadan tradisi perdagangan dan politik, dengan inisiatif beras blok serantau itu membantu ribuan mangsa banjir di Filipina, Laos dan Myanmar.

    Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR) sedang menggerakkan bantuan kemanusiaan kepada negara-negara Asia Tenggara yang terjejas akibat cuaca buruk yang berterusan melanda rantau ini.

    Bantuan terbaharu disalurkan ke Laos, yang berdepan siri bencana alam berturut-turut tahun ini.

    “APTERR bersedia menyokong Laos dan kami bekerjasama rapat untuk memastikan keselamatan makanan serta membina ketahanan lebih kukuh dalam menghadapi cabaran perubahan iklim,” kata Pengurus Besar APTERR yang berpangkalan di Bangkok, Dr Choomjet Karnjanakesorn kepada Bernama.

    Majlis penyerahan beras berlangsung di Vientiane pada 16 September.

    Seorang petani memeriksa sawah padinya yang dilanda banjir di wilayah Cagayan, utara Manila pada 23 September, sehari selepas Taufan Ragasa melanda wilayah tersebut. – AFP

    Ribuan penduduk luar bandar Laos berdepan banjir tahun ini, khususnya selepas dua siklon tropika iaitu Wutip pada Jun dan Wipha pada Julai melanda negara itu.

    Pada akhir Ogos, Ribut Tropika Kajiki turut menyebabkan banjir kilat di beberapa wilayah pelancongan popular Laos.

    Menurut The Laotian Times, Wutip dan Wipha merosakkan 527 kampung, 24,500 hektar tanah pertanian dan 14 sekolah, selain mengorbankan 19 nyawa.

    Di bawah mekanisme pra-posisi APTERR, tiga negara rakan iaitu China, Jepun dan Korea Selatan menyumbang sejumlah 1,050 tan beras kepada Laos.

    Daripada jumlah itu, Korea Selatan menyumbang 750 tan, manakala China dan Jepun masing-masing 150 tan.

    Sumbangan itu dijangka dapat meringankan penderitaan hampir 170,000 mangsa banjir dan tanah runtuh, menurut APTERR.

    APTERR ditubuhkan pada 2011 sebagai sebahagian inisiatif ASEAN untuk menjamin keselamatan makanan dan mengurangkan kemiskinan ketika kecemasan dalam kalangan negara anggota.

    “Jumlah keseluruhan sumbangan beras ditetapkan sekitar 11,620 tan setahun, yang diagihkan kepada empat negara penerima iaitu Myanmar, Laos, Kemboja dan Filipina. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda