DERNA, LIBYA, 14 SEPT – Usaha bantuan global untuk Libya telah meningkat hari ini selepas banjir kilat sebesar tsunami itu meragut sekurang-kurangnya 4,000 nyawa, dengan ribuan lagi masih hilang – jumlah kematian itu yang sebahagiannya menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah akibat daripada konflik dan kekacauan yang berterusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Libya.
Banjir besar yang luar biasa itu menyebabkan dua empangan pecah di hulu sungai lewat Ahad lalu dan mengubah bandar Derna menjadi sebuah kawasan padang gurun apokaliptik di mana seluruh blok bandar dan ramai orang telah dihanyutkan ke Laut Mediterranean.
“Secara tiba-tiba paras air naik,” ujar seorang mangsa yang cedera sambil berkata bahawa dia dan ibunya dihanyutkan oleh arus pada malam tersebut sebelum kedua-duanya berjaya berpaut pada sesuatu lalu masuk ke dalam sebuah bangunan kosong di hilir.
“Air itu terus naik bersama kami sehingga kami sampai ke tingkat empat, air naik ke tingkat dua,” kata lelaki yang tidak dikenali itu daripada katil hospital, dalam keterangan yang diterbitkan oleh Pusat Perubatan Benghazi.
“Kami dapat mendengar jeritan. Dari tingkap saya melihat kereta dan mayat dihanyutkan oleh air. Ia berlangsung sejam atau satu setengah jam, tetapi bagi kami, ia terasa seperti setahun,” tambahnya.
Ratusan beg mayat kini memenuhi jalanan Derna yang berlumpur, menunggu pengebumian besar-besaran, ketika para penduduk sedang trauma dan berduka mencari mencari orang tersayang yang hilang di bangunan-bangunan yang runtuh dan jentolak membersihkan serpihan runtuhan dan pasir di jalanan.
“Skala bencana banjir di Libya adalah mengejutkan dan ia menyayat hati,” kata Naib Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Martin Griffiths. – AFP


