Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantuan global mencurah-curah untuk Turkiye dan Syria

    ANKARA, 7 FEB – Negara di seluruh dunia mengumumkan bantuan untuk Turkiye dan Syria selepas dua gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turkiye kelmarin, lapor agensi Anadolu.

    Pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Pakistan, India dan Malaysia bergegas menghantar pasukan penyelamat mereka ke Turkiye.

    Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby berkata kelmarin bahawa AS ‘dalam proses mengerahkan’ 79 lagi anggota bagi membantu kakitangan yang sudah berada di lapangan ‘dalam menyokong usaha mencari dan menyelamat serta membantu menangani keperluan mangsa yang cedera atau hilang tempat tinggal akibat gempa bumi’.

    Setakat ini, lebih 5,000 orang dilaporkan terkorban manakala 20,426 yang lain cedera di 10 wilayah Turkiye selepas dua gempa bumi kuat kelmarin melanda bahagian selatan negara itu, kata seorang pegawai dari agensi bencana hari ini.

    Awal pagi kelmarin, gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter melanda daerah Pazarcik, Kahramanmaras termasuk beberapa wilayah lain seperti Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis.

    Bantuan kemanusiaan yang akan dihantar ke Turkiye kelihatan di pangkalan udara Al Udeid di Qatar, 7 Februari, susulan gempa bumi dahsyat di Turkiye dan Syria. Sehingga 23 juta orang mungkin terjejas dalam gempa yang telah meragut ribuan nyawa, WHO memberi amaran. – AFP

    Gempa bumi susulan berukuran 7.6 skala Richter kembali menggegarkan negara itu pada 1:24 petang waktu tempatan di daerah Elbistan Kahramanmaras pada hari sama.

    Di Syria, pegawai kerajaan dan penyelamat melaporkan kira-kira 1,300 orang terbunuh manakala lebih 2,400 yang lain cedera dalam kejadian yang sama.

    “Kerajaan China turut menyediakan bantuan kecemasan kepada Turkiye dan Syria dengan bantuan kecemasan pertama 40 juta yuan (AS$5.8 juta) dihantar ke Turkiye,” menurut jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying menerusi Twitter.

    Jepun menyatakan kesediaannya untuk memberi sokongan yang diperlukan, dengan menghantar sepasukan 18 kakitangan ke Istanbul hari ini untuk menyertai operasi menyelamat dan bantuan.

    Korea Selatan juga mengumumkan menghantar kira-kira 60 anggota pasukan penyelamat antarabangsa dan bekalan perubatan kecemasan ke Turkiye, lapor media tempatan.

    Sementara itu, Pakistan juga menghantar kumpulan penyelamat dan barangan bantuan ke Turkiye untuk mangsa gempa bumi.

    Sebuah pesawat C-130 yang membawa tentera Pakistan, bersama 25 tan barangan bantuan, berlepas dari Pangkalan Udara Chaklala di Rawalpindi lewat kelmarin, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

    India juga menghantar bantuan menggunakan pesawat Tentera Udara India (IAF) ke Turkiye kelmarin.

    Ia mengumumkan dua pasukan 100 anggota NDRF dengan skuad anjing terlatih dan peralatan dihantar ke kawasan gempa.Australia dan New Zealand hari ini mengumumkan mereka akan menyalurkan berjuta-juta dolar bantuan kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi yang dahsyat di Turkiye dan Syria. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda