Tuesday, April 16, 2024
29.5 C
Brunei

    -

    Bantuan kayu api ringankan beban masyarakat

    ATHENS – Menghadapi musim sejuk semasa kekurangan bekalan tenaga, orang ramai di seluruh Greece menggunakan sumber pemanas yang lebih murah, seperti kayu api.

    Memberikan tindak balas terhadap permintaan yang semakin meningkat yang cenderung menaikkan harga, beberapa majlis perbandaran tempatan di seluruh negara telah mengambil langkah untuk mengagihkan kayu api secara percuma kepada golongan yang memerlukan.

    Di kawasan pergunungan Greece, program sebegini telah pun dijalankan selama bertahun-tahun. Tetapi di pusat bandar, ini adalah inisiatif baharu.

    Di Glyfada, pinggir selatan Athens, program itu dilancarkan pada awal 2021 selepas ribut salji pada Februari menyebabkan bertantan pokok tumbang dan dahan tumbang di jalanan, jelas ketua jabatan perlindungan awam perbandaran, Anna Kafka kepada Xinhua semasa temu bual baru-baru ini.

    Mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan dan setelah diproses mereka boleh mengambil seberapa banyak yang boleh dimuatkan ke dalam ruang simpanan kereta mereka.

    Pekerja perbandaran (kanan) membantu seorang lelaki mengumpulkan kayu api secara percuma yang dibekalkan oleh majlis perbandaran Glyfada di pinggir selatan Athens, Greece. – Xinhua

    Tahun ini, apabila krisis tenaga semakin meruncing, perbandaran telah menyaksikan peningkatan dalam permohonan.

    Kafka memberitahu Xinhua bahawa sepanjang tahun 2021 mereka menerima 10,000 permohonan, manakala tahun ini, sehingga akhir September, mereka sudah menerima 5,000 permohonan.

    “Kira-kira 4,000 permohonan telah diterima dan kami bergerak ke hadapan,” kata Kafka sambil menambah bahawa program itu akan diteruskan sepanjang musim sejuk.

    Nikos Kafes merupakan salah seorang penduduk yang tiba bersama isterinya pada awal Oktober di pusat pengumpulan.

    “Ia adalah bantuan tambahan… Musim sejuk adalah sangat sukar, dan memandangkan kenaikan harga bahan api, ia adalah bantuan,” katanya kepada Xinhua.

    Harga gas asli meningkat 332 peratus pada September tahun ini berbanding bulan yang sama 2021. Kos minyak pemanasan 65.1 peratus lebih tinggi dan elektrik 30.5 peratus lebih tinggi, menurut Pihak Berkuasa Statistik Hellenic (ELSTAT).

    ELSTAT mengaitkan sebahagian besar daripada kenaikan 12 peratus dalam kadar inflasi tahunan pada bulan September disebabkan oleh kenaikan kos tenaga.

    Kerajaan Greece memperuntukkan kira-kira 10 bilion euro (AS$9.9 bilion) untuk mensubsidi bil elektrik dan gas asli isi rumah dan perniagaan, menurut pegawai, tetapi bebannya tetap berat.

    Tahun ini, kos kayu api kira-kira 30 peratus lebih tinggi daripada pada 2021, Ioannis Sakellarakis, presiden Persatuan Peniaga Bahan Api Pepejal Attica (SESKA), memberitahu akhbar tempatan, Ta Nea.

    Memandangkan permintaan lebih tinggi tahun ini dan negara jiran seperti Bulgaria, yang telah menghentikan eksport kayu api ke Greece untuk menampung keperluan domestik, komoditi ini lebih sukar dicari dan lebih mahal, jelas Sakellarakis.

    Kafes memberitahu Xinhua kayu api yang dia terima daripada perbandaran Glyfada boleh memanaskan keluarganya paling lama selama tiga hari, jadi mereka akan menyimpannya untuk hari yang paling sukar.

    “Kami akan cuba mengurangkan perbelanjaan lain agar kami boleh membeli sekurang-kurangnya 500 liter minyak pemanas sekali lagi untuk digunakan pada hari yang sangat sejuk,” katanya.

    “Ia benar-benar sesuatu yang sangat positif menjelang musim sejuk yang sukar,” kata Mary, seorang lagi penduduk tempatan. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...