KARANGASEM, Indonesia, 26 Sept – Kenderaan yang dipenuhi dengan makanan, penutup muka dan peralatan tempat tidur telah pun dihantar untuk membantu lebih daripada 57,000 orang yang telah melarikan diri daripada gunung berapi di pulau peranginan Bali, tatkala magma dan gegaran yang meningkat mencetuskan kebimbangan mengenai letusan yang akan berlaku tidak lama lagi.
Gunung Agung, terletak kira-kira 75 kilometer dari pusat pelancong Indonesia Kuta, telah pun berderam-derum sejak Ogos, mengancam akan meletus untuk kali pertama sejak 1963.
“Peluang satu letusan akan berlaku adalah agak besar. Namun ia tidak dapat diramalkan bila ia akan berlaku,” kata Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap untuk agensi pengurangan bencana.
Kekerapan gegaran yang meningkat menunjukkan magma terus bergerak ke arah permukaan, dengan gunung memasuki “fasa kritikal,” kata jurucakap.
Pusat Vulkanologi dan Pengurangan Risiko Geologi Indonesia berkata terdapatnya peningkatan dalam gegaran gunung berapi, dengan 564 dicatat semalam.

Penduduk telah dipindah ke pusat perlindungan sementara atau berpindah untuk tinggal bersama saudara. Kira-kira 2,000 lembu juga telah dipindahkan dari kawasan guung berapi.
Penduduk Bali, NGO antarabangsa dan kerajaan telah mula menganjur bantuan.
Kenderaan yang diisi dengan mi, air mineral dan selimut telah dihantar ke pusat pemindahan, sementara penduduk di sekitar pulau telah mengutip derma untuk mereka yang terjejas.
Program “kampung kembar” Bali dan tradisi bantuan kemasyarakatan bermakna penduduk yang berpindah boleh tinggal di kampung di luar zon bahaya.
Kira-kira 62,000 orang tinggal di zon bahaya sebelum pemindahan, menurut agensi pengurangan bencana.
Agensi bencana nasional Indonesia telah menghantar 640,000 penutup muka, 12,500 tilam, 8,400 selimut, 50 khemah dan mempunyai belanjawan berjumlah AS$75,000 untuk bantuan.
Kerajaan pusat telah memperuntukkan satu dana bantuan berjumlah AS$150 juta sekiranya berlaku letusan. – AFP