Saturday, May 3, 2025
32.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantuan kemanusiaan Gaza berdepan ‘krisis’

    GENEVA, 2 MEI – Palang Merah memberi amaran hari ini bantuan kemanusiaan di Gaza sedang berdepan ‘krisis’ selepas dua bulan Israel menyekat bantuan kepada wilayah Palestin yang dilanda perang.

    “Tanpa penyambungan semula penghantaran bantuan segera, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) tidak akan mempunyai akses kepada makanan, ubat-ubatan dan bekalan menyelamatkan nyawa yang diperlukan untuk mengekalkan banyak programnya di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan.

    Israel mengawal ketat semua aliran masuk bantuan antarabangsa yang penting untuk 2.4 juta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

    Ia menghentikan penghantaran bantuan ke Gaza pada 2 Mac lalu, beberapa hari sebelum gencatan senjata dibatalkan yang telah mengurangkan pertempuran selepas 15 bulan di Gaza.

    Sejak permulaan sekatan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah berulang kali memberi amaran tentang malapetaka kemanusiaan di lapangan, dengan kebuluran sekali lagi meningkat.

    “Penduduk awam di Gaza sedang menghadapi perjuangan harian yang amat berat untuk bertahan daripada risiko serangan, menghadapi perpindahan tanpa henti dan menanggung akibat kehilangan bantuan kemanusiaan segera,” kata Timbalan Pengarah Operasi ICRC, Pascal Hundt, dalam kenyataan hari ini.

    “Keadaan ini tidak boleh dibiarkan terus meningkat,” tambahnya.

    ICRC menegaskan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Israel mempunyai kewajipan untuk menggunakan semua cara yang ada untuk memastikan keperluan asas penduduk awam di bawah kawalannya dipenuhi. – AFP

    Keluarga Al-Najjar menikmati juadah di Muwasi, di pinggir Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 25 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda