PEMBA, Mozambique, 1 Mei – Cuaca buruk semalam menghalang anggota menyelamat daripada menghantar makanan dan ubat yang amat diperlukan kepada beribu-ribu mangsa yang terkandas di sebuah pulau Mozambique lima hari selepas salah satu siklon paling kuat melanda Afrika.
Program Makanan Dunia (WFP) berkata helikopternya tidak dapat berlepas dalam hujan lebat dan angin kencang untuk membawa bantuan ke Ibo, sebuah pulau yang mempunyai 13,000 penduduk di luar pantai Mozambique.
Pulau Quissanga yang terletak berhampiran, dengan 50,000 penghuni, menerima hantaran kira-kira tiga tan biskut tenaga tinggi, satu tan makanan lain dan 100 kilogram bekalan kesihatan serta sanitasi kepada komuniti yang terjejas.
Dua buah helikopter WFP berjaya berlepas ke Quissanga sebelum hujan lebat bermula, beritahu Deborah Nguyen daripada badan PBB itu kepada AFP di Pemba.
“Namun giliran kedua yang dijangka sampai ke Ibo dibatalkan disebabkan cuaca. Mereka (penduduk Ibo) masih belum menerima bantuan daripada WFP sejak siklon melanda,” kata beliau, menambah kira-kira 7,000 orang yang amat memerlukan bantuan makanan di pulau itu.
“Apa yang penting adalah menghantar bantuan ke Ibo disebabkan ia masih belum sampai lagi” sejak Siklon Kenneth melanda pada malam Khamis lalu, kata Nguyen di tarmak lapangan terbang Pemba bersebelahan dengan helikopter kargo besar yang dipenuhi dengan bekalan.
Kumpulan pekerja dalam topi keselamatan putih dan baju luar hijau sebelum ini memunggah berpuluh kotak biskut kalori tinggi dan ubat ke dalam dua helikopter kargo besar. – AFP