Bantuan khas RM4.6 juta untuk pesakit buah pinggang

KUCHING, 28 MEI – Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4.6 juta di bawah Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang membabitkan sejumlah 100 pesakit baharu dari kalangan golongan B40 di negeri itu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata bantuan khas itu melibatkan bantuan klinikal, pemindahan buah pinggang, pengangkutan dan 30 unit mesin hemodialisis.

“Bantuan klinikal merangkumi (pembayaran) pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) secara ‘one-off’ sehingga RM3,000, suntikan Erythropoietin (EPO) sehingga RM240 sebulan dan rawatan hemodialisis maksimum RM200 untuk setiap pesakit bagi setiap sesi rawatan,” katanya dalam sidang media majlis penyampaian bantuan khas itu di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan pemindahan buah pinggang pula berjumlah RM5,000 bagi memberikan sokongan dari segi pengangkutan dan penginapan kepada pesakit dalam tempoh dua bulan menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, bantuan pengangkutan pula ialah sebanyak RM50 setiap kali pesakit  menjalani rawatan manakala bantuan mesin hemodialisis ialah bagi menggantikan mesin uzur di pusat kesihatan yang terdapat di negeri itu. – Bernama

Datuk Seri Fatimah Abdullah (kiri) menyampaikan replika cek kepada Muhd Nur-Afiq Rambli pada majlis penyampaian Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang di Wisma Kebajikan kelmarin. – Bernama